Azizi tolak Nenggiri mahu Gua Musang

KUALA LUMPUR 1 Julai –  Selepas mengumumkan tidak akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Mohd Azizi Abu Naim sedia bertanding semula sekiranya beliau perlu mengosongkan kerusi Parlimen Gua Musang.

Beliau akan mempertahankan kerusi disandangnya sekarang jika keputusan Yang Dipertua Dewan Rakyat,  Johari Abdul kelak tidak berpihak kepadanya selepas hilang keahlian Bersatu, parti yang diwakili pada Pilihan Raya Umum lalu.

Justeru beliau akan cuba meyakinkan kepemimpinan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) bahawa beliau calon paling layak bertanding, sekali gus mempertahan kerusi Parlimen Gua Musang yang disandangnya ketika ini.

“Ya memang saya akan minta kepada pimpinan parti (PH-BN) untuk memberi peluang kepada saya di Gua Musang. Saya bertanding sebelum ini pun atas tiket Perikatan Nasional (PN) yang pada hakikatnya bukan satu (kerusi) sasaran pada peringkat PN sendiri,”:katanya pada sidang media di Dewan Rakyat hari ini.

Sebelum ini, beliau mengumumkan tidak akan bertanding semula pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Nenggiri nanti, sekiranya permohonannya bagi mencabar keputusan Speaker DUN Kelantan di mahkamah gagal.

Mohd Azizi berkata, dia tidak akan bertanding sebagai calon Bebas dan bersedia memberi laluan kepada komponen parti lain untuk bertanding.

“Saya kena berpijak di bumi yang nyata, memang ada hasrat mahu bertanding. Sekiranya saya bertanding, saya mesti menggunakan logo. Kita tidak yakin sekiranya kita tidak menggunakan parti, maksudnya bertanding atas tiket Bebas,” katanya baru-baru ini.

Dalam pada itu, Mohd Azizi berkata, adalah tidak adil jika kerusi Gua Musang diberikan kepada orang lain sekiranya diisytihar kosong kerana beliau sudah memulakan kerja sejak 2020 untuk memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Kelantan.

Mohd Azizi berkata, sebenarnya PN bertanding di Gua Musang bukan sasaran parti untuk menang kerana PN tidak ada sejarah menang di situ dengan kekebalan bekas Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.

“Mereka (PN) sebenarnya tak sasarkan saya (menang), tetapi dua tahun lalu, saya bergelut membuat aktiviti terutama untuk tarik pengundi muda untuk menang.

“Saya bekerja sejak 2020, ketika itu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Jadi, kenapa saya nak biarkan kerusi itu kepada orang lain jika berlaku pilihan raya. Insya-Allah saya akan guna alasan ini untuk saya jumpa pimpinan PH-BN untuk memberi peluang saya bertanding pada pilihan raya nanti,” katanya.

Baru-baru ini, Johari mengesahkan sudah menerima notis untuk mengosongkan kerusi enam Ahli Parlimen Bersatu dan beliau mempunyai masa selama 21 hari untuk memutuskan kesusukan itu.

Sebelum ini, Ketua Whip Bersatu, Dr Ronald Kiandee, mengemukakan notis kepada Johari, meminta enam kerusi Parlimen disandang wakil rakyatnya dikosongkan.

Bersatu mendakwa keahlian Ahli Parlimen berkenaan digugurkan selepas surat arahan daripada parti itu diberi kepada semua wakil rakyatnya sebelum ini, bagi mereka menzahirkan pendirian berkaitan kesetiaan terhadap parti, yang dibuat susulan pindaan ke atas Fasal 10 dalam Perlembagaan Bersatu yang sudah pun diluluskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

Selain Azizi turut tersenarai adalah  Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang),  Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan  Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan). ADUN terbabit pula Abdul Rashid Asari.

Mereka digugurkan keahlian serta-merta kerana gagal memberi sebarang jawapan berkaitan surat arahan bertulis Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) untuk menzahirkan ikrar taat setia kepada parti itu.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment