WASHINGTON – Pentadbiran Joe Biden didakwa menghantar sejumlah besar senjata kepada Israel termasuk lebih 10,000 bom seberat 2,000 paun (lebih sembilan tan) yang membawa kemusnahan besar sejak permulaan perang di Gaza.
Menurut laporan media, dua pegawai Amerika Syarikat (AS) yang memberi taklimat mengenai senarai penghantaran senjata yang dikemas kini juga memaklumkan turut dihantar ribuan peluru berpandu Hellfire.
Sejak permulaan perang pada Oktober 2023 dan beberapa hari kebelakangan ini, AS menghantar sekurang-kurangnya 14,000 bom MK-84 2,000 paun, 6,500 bom 500 paun, 3,000 peluru berpandu udara-ke-darat Hellfire, 1,000 bom bunker-buster, 2,600 bom berdiameter kecil yang dijatuhkan di udara dan senjata lain.
Walaupun tidak memberikan garis masa untuk penghantaran, jumlah itu menunjukkan tidak ada penurunan ketara dalam sokongan ketenteraan AS, walaupun gesaan antarabangsa supaya mengehadkan bekalan senjata dan keputusan pentadbiran baru-baru ini menghentikan penghantaran bom yang kuat.
Pakar berkata, kandungan penghantaran kelihatan konsisten dengan apa yang Israel perlukan untuk menambah bekalan yang digunakan dalam kempen ketenteraan sengit selama lapan bulan di Gaza, yang dilancarkan selepas serangan 7 Oktober.
