Bersatu tanding wakili PN di Nenggiri

NIBONG TEBAL 29 Jun –  Bersatu akan menghantar calon mewakili Perikatan Nasional (PN) bagi bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Kelantan pada 17 Ogos depan.

Presiden Bersatu  Muhyiddin Yassin berkata keputusan itu telah dibuat sebelum ini memandangkan Nenggiri adalah kerusi milik parti berkenaan.

“Kita dah mula menggerakkan jentera bagi peringkat awal dan kerja-kerja lain akan menyusul termasuk mengenal pasti calon paling sesuai yang akan kita letakkan daripada Bersatu,” katanya selepas program minum petang bersama masyarakat di kawasan Taman Puteri Gunong, Simpang Ampat di sini hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRK DUN Nenggiri pada 17 Ogos manakala penamaan calon dan pengundian awal PRK berkenaan masing-masing ditetapkan pada 3 dan 13 Ogos.

Sebelum ini, Speaker DUN Kelantan Mohd Amar Nik Abdullah mengesahkan kerusi DUN berkenaan kosong berkuat kuasa pada 19 Jun selepas DUN Kelantan menerima notis bertulis mengikut fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Tubuh daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mohd Azizi Abu Naim pada 13 Jun lepas.

Sementara itu, Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) , berkata, momentum gerak kerja PN dalam mengharungi Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap yang sudah memasuki hari ketujuh semakin lancar dan mendapat kerjasama baik daripada semua gabungan parti komponen itu.

Beliau berkata , berkata kian ramai penyokong dan ahli parti dari semua negeri dan bahagian turun padang di setiap Unit Daerah Mengundi (UDM) bagi memastikan kemenangan calon PN, Abidin Ismail.

“Nampak jentera kita bekerja kuat… walaupun calon ini daripada Pas, tetapi juga dia calon PN. Jadi Bersatu, Pas, Gerakan, MIPP (Parti Rakyat India Malaysia) banyak memberi sokongan.

“(Momentum) bagus nampak semakin lancar, tapi tak boleh juga orang kata ‘over confident’ dalam pilihan raya. Saya sudah ada banyak pengalaman yang penting semua pihak mesti bekerjasama.

Nampaknya tidak ada isu apa dan sebab itu, saya harap ini akan memberikan kelebihan kepada calon kita pada pilihan raya ini,” katanya pada sesi santai bersama penyokong PN di Taman Puteri Gunung di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Muhyiddin meminta pengundi di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap menggunakan saluran PRK sebagai isyarat kepada Kerajaan Perpaduan terutama membabitkan isu peningkatan kos sara hidup.

Related posts

Leave a Comment