NIBONG TEBAL 28 Jun – Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin menghormati keputusan yang diambil bekas Ahli Parlimen Jeli, Mustapa Mohamed yang tidak lagi menjadi ahli parti Bersatu.
Bagaimanapun Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu mengakui hanya mengetahui bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) tidak lagi menjadi ahli parti Bersatu berdasarkan laporan berita.
“Saya baru dengar, saya pun baca berita yang dia tidak lagi menjadi ahli Bersatu , saya tak dapat berita apa sebab mungkin dia lepas saja dalam PRU (Pilihan Raya Umum) lalu, dia tak nak bertanding lagi.
“Tapi tak apalah, Mustapa sahabat saya, saya harap walaupun begitu dia masih boleh dapat beri kerjasama seperti yang telah diberikan waktu beliau dalam Bersatu ,”katanya selepas sesi minum petang di Taman Puteri Gunung di sini, hari ini.
Muhyiddin turut percaya Mustapa tidak akan menjadi ahli mana-mana parti lain dan langkah beliau mengumumkan pengunduran sebagai ahli Bersatu berkemungkinan ingin membebaskan diri daripada terbabit dalam politik.
Dilaporkan Mustapa atau lebih dikenali sebagai Tok Pa mengulangi pendiriannya bahawa beliau sudah pencen daripada politik dan tidak akan bertanding dalam mana-mana pilihan raya.
Tok Pa turut memaklumkan bahawa beliau meletakkan jawatan sebagai ahli dan semua jawatan dalam parti Bersatu pada 30 September, tahun lalu.
Sebelum ini, Pengerusi Bersatu Kelantan, Kamaruddin Md Noor dilapor berkata, beliau sedia memberi laluan kepada Mustapa untuk bertanding di Parlimen Gua Musang atau Jeli jika PRK diadakan.
Nnnn
