Dakwaan mahu pecat Guan Eng satu pembohongan

KUALA LUMPUR 26 Jun –  Selepas didakwa mengugut memecat Lim Guan Eng sebagai Menteri Kewangan, bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad tampil menyifatkan kenyataan Pengerusi DAP itu pembohongan secara terang-terangan.

Dr Mahathir yang terkejut dengan kenyataan bekas Setiausaha Agung DAP itu  berkata beliau sendiri menghormati kedudukan Guan Eng selaku ketua pemimpin parti yang bergabung dengan partinya dan dakwaan sedemikian adalah tidak benar.

Bekas Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, ini kerana merasakan mereka sudah bekerjasama dengan baik ketika beliau menjadi Perdana Menteri ke-7.

“Menjadi perkara biasa baginya sebagai Menteri Kewangan untuk membincangkan isu-isu besar dengan saya dan selepas mendengar pandangan saya, perkara itu akan dikemukakan kepada Kabinet untuk menteri mengulas cadangan itu.

Hanya selepas keputusan Kabinet barulah perkara itu dikemukakan di hadapan Parlimen dan akhirnya Parlimen memutuskan sama ada mahu meluluskan perkara itu atau tidak. Begitulah cara kerajaan bekerja,” katanya dalam satu kenyataan di laman sosial rasminya hari ini.

Guan Eng, semalam mendakwa Dr Mahathir cuba untuk memecatnya sebanyak tiga kali di hadapan Kabinet ketika beliau menjadi Menteri Kewangan dalam pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada 2018.

Ahli Parlimen Bagan itu mendakwa Dr Mahathir bertindak demikian disebabkan keazaman beliau untuk melaksanakan langkah-langkah yang dijanjikan dalam manifesto pilihan raya PH 2018.

Kenyataan itu dimuat naik bekas Ketua Menteri Pulau Pinang berkenaan sebagai maklum balas terhadap buku bertajuk Shattered Hopes ditulis Romen Bose yang mengupas peristiwa politik Malaysia pasca 2018.

“Buku Shattered Hopes karangan Romen Bose tentang politik tanah air pasca 2018 mendedahkan sudut pandang Tun Dr Mahathir Mohamad,” katanya mengkritik pandangan Dr Mahathir dalam buku itu yang disifatkannya kenyataan ‘separuh benar dan palsu’.

Selain mendakwa Dr Mahathir mengugut untuk memecatnya, bekas Perdana Menteri itu juga didakwa secara terbuka marah dengan desakan berterusannya untuk mengurangkan tol Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) sebanyak 18 peratus.

Mengulas mengenai manifesto yang tidak ditunaikan, Dr Mahathir berkata, kerajaan tidak hanya pihak yang boleh memberikan kelulusan terhadap janji itu.

“Sebagai contoh, manifesto pemansuhan tol. Ia dilihat mudah, tetapi lebuh raya perlu diselenggara dan ada kala lorong tambahan perlu dibina dan kerajaan tidak mempunyai wang untuk membina jalan raya.

“Mengekalkan lebuh raya sepanjang 800 kilometer memerlukan kos yang tinggi. Sekiranya tiada kutipan tol, kerajaan atau syarikat tidak akan dapat menyelenggara lebuh raya kelas pertama ini,” katanya.

Dalam membuat keputusan, Dr Mahathir berkata, Kabinet akan memberi kata putus, bukan Perdana Menteri sahaja.

“Menteri Kewangan ada bersuara. Jika Kabinet berkata tidak untuk menghapuskan tol, maka tol tidak boleh dihapuskan.

“Saya tidak boleh menyifatkan perbahasan dalam Kabinet sebagai tegang. Tugas saya adalah mempengerusikan mesyuarat dan saya mempunyai hak untuk menyampaikan pandangan saya seperti yang dilakukan oleh Guan Eng,” katanya.

Dr Mahathir berkata, satu-satunya menteri yang digugurkan beliau ialah Dr Maszlee Malik yang menjadi Menteri Pendidikan di awal Kerajaan PH mengambil tampuk pemerintahan.

Beliau juga menafikan, pernah mencadangkan untuk mengharamkan UMNO, sebaliknya memberitahu pemimpin parti itu, Dr Ahmad Zahid Hamidi, bahawa UMNO ketika itu bukan parti yang mengalahkan Malayan Union dan memenangi kemerdekaan untuk negara.

“Najib (bekas Perdana Menteri) sudah mengubahnya menjadi ‘cash-cow’ yang mencuri berbilion-bilion dan menjadikan parti itu rasuah.

“Saya memberitahu Zahid bahawa orang Melayu tidak lagi menyokong UMNO dan ia menjadi sebab parti itu kalah dalam pilihan raya buat kali pertama.

“Saya tidak mengugut untuk mendakwa beliau kerana mencuri wang kerajaan jika beliau gagal membubarkan UMNO, namun beliau cuba menunjukkan kepada saya dokumen untuk membuktikan dia tidak bersalah. Saya suruh beliau beritahu mahkamah kerana saya tidak mempunyai kuasa untuk memutuskan kesnya,” katanya.

Dr Mahathir juga berkata, beliau bekerja dengan ramai orang dan ingin mendengar pandangan daripada orang yang pernah bekerja dengannya selepas 22 tahun berkhidmat sebagai Perdana Menteri keempat.

Nnn

Related posts

Leave a Comment