PUTRAJAYA 21 Jun – “Kita tak perlu panik – ini hanyalah salah satu kayu pengukur,” demikian kenyataan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Zafrul Abdul Aziz berhubung kedudukan Malaysia dalam senarai Ranking Daya Saing Dunia (WCR) IMD 2024.
Katanya, ada banyak lagi kayu pengukur daya saing yang lain di peringkat global, seperti Global Competitiveness Report (GCR), Global Innovation Index (GII), Economic Freedom Index, dan lain-lain.
“Tapi pada masa yang sama tak bermakna kita akan abaikan dapatan WCR ni. Semua kayu pengukur ni boleh dijadikan indikator untuk kita meningkatkan lagi prestasi negara,” katanya melalui Facebooknya malam ini.
Beliau berkata, antara faktor penurunan prestasi WCR 2024 ialah, ketidaktentuan dalam kestabilan kadar pertukaran mata awang ; penurunan eksport produk berteknologi tinggi dan peningkatan subsidi kerajaan.
Semalam, media melaporkan, Malaysia turun tujuh anak tangga untuk menduduki tempat ke-34 daripada 67 negara dalam Kedudukan Daya Saing Dunia IMD 2024, selepas berada di kedudukan ke-27 dalam indeks itu tahun lepas.
Dalam kalangan negara ASEAN, Malaysia berada di belakang Singapura, Thailand serta Indonesia.
Zafrul dalam kenyataan itu juga menjelaskan, ranking WCR tahun 2024 kebanyakannya berdasarkan data 2023.
“Jadi, kedudukan dalam WCR 2024 mencerminkan prestasi Malaysia pada 2023 berbanding 2022. Tapi ada beberapa komponen yang sebenarnya meningkat tahun ini dan akan dicerminkan dalam ranking tahun depan,” katanya.
Mengulas ketidaktentuan dalam kestabilan kadar pertukaran mata wang, beliau berkata : “Pada WCR 2024, kita di tangga ke-30 berbanding tangga ke 2 pada WCR 2023. Ini secara langsung mempengaruhi 25% skor keseluruhan kerana exchange rate stability mempengaruhi 63/256 indikator penilaian.
Tetapi pertumbuhan ekonomi yang stabil, kadar pengangguran yang terus berkurangan, serta inflasi yang terkawal akan meningkatkan kedudukan Malaysia di masa akan datang,”
Zafrul juga berkata penurunan permintaan global dan peningkatan persaingan global turut menjejaskan negara lain seperti China, Korea dan Jepun tetapi pelaburan baharu tahun ini akan mula memberi impak dalam masa 12 bulan.
“Unjuran peningkatan jualan semikonduktor global tahunan sebanyak 16% pada 2024 dan 12.5% pada 2025 akan memanfaatkan Malaysia sebagai pengeksport semikonduktor keenam terbesar di dunia,” katanya.
Berhubung peningkatan subsidi kerajaan, untuk tahun 2023, Kerajaan bajetkan RM64 bilion untuk subsidi tetapi perbelanjaan sebenar ialah RM81 bilion, 26 peratus lebih tinggi daripada yang dibajetkan.
Antara sebabnya ialah kenaikan mendadak bahan api ekoran konflik Ukraine-Rusia di mana negara lain juga terkesan tetapi subsidi mereka tidak sebesar negara ini.
“Tetapi dengan pendekatan subsidi bersasar, golongan yang memerlukan masih terus dibantu tapi pada masa yang sama, kita dapat mengurangkan risiko lonjakan perbelanjaan Kerajaan.
Penjimatan daripada langkah-langkah ini juga dapat disalurkan kepada program sosial lain untuk menyokong ekonomi Malaysia,” katanya.
Zafrul berkata, dalam usaha meningkatkan daya saing Malaysia, amalan terbaik daripada 12 ekonomi paling berdaya saing akan dijadikan penanda aras untuk langkah penambahbaikan.
Katanya, agensi di bawah MITI, iaitu Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), akan melaksanakan analisis bersepadu bagi mengenal pasti punca-punca utama kemerosotan ranking Malaysia, dan akan merangka cadangan peningkatan daya saing negara yang bersesuaian.
Bagi tujuan itu juga, MPC akan bekerjasama dan melibatkan semua kementerian dan agensi Kerajaan berkaitan
Nnn
