PUTRAJAYA – Sebanyak 14 memorandum persefahaman, memorandum perjanjian (MoU/MoA), protokol dan kenyataan bersama membabitkan sembilan kementerian ditukar antara Malaysia dan China hari ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatnya dari China, Li Qiang menyaksikan pertukaran itu.
Majlis itu adalah sempena lawatan rasmi tiga hari Li ke Malaysia, yang juga lawatan pertamanya ke negara ini sebagai Perdana Menteri, bersempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara Malaysia dan China.
Kementerian yang terlibat adalah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI); Kementerian Kewangan; Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan; Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan; Kementerian Dalam Negeri.
Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI); Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT); Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta Kementerian Komunikasi.
Sementara itu, bagi MITI, pertukaran dokumen membabitkan dua MoU, untuk mengukuhkan kerjasama pelaburan dalam ekonomi digital dan menggalakkan kerjasama pelaburan dalam pembangunan hijau.
Malaysia dan China turut memeterai kitaran kedua program lima tahun Malaysia-China untuk kerjasama ekonomi dan perdagangan bagi meningkatkan lagi hubungan antara industri dalam sektor-sektor yang menjadi keutamaan seperti pembuatan peringkat tinggi dan ekonomi digital.
Program itu juga akan meningkatkan kerjasama dalam bidang robotik, pembangunan usahawan, inovasi dan syarikat pemula niaga, selain penyelidikan dan pembangunan dalam pertanian dan industri utama.
Bagi Kementerian Komunikasi, dua MoU ditukar iaitu dengan China Media Group mengenai kerjasama dalam bidang media manakala MoU kedua bagi mengukuhkan kerjasama dalam bidang pos antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan China State Postal Bureau.
Di bawah Kementerian Kewangan, pertukaran dokumen membabitkan kenyataan bersama mengenai tetingkap tunggal kebangsaan untuk inisiatif perdagangan rentas sempadan manakala di bawah KPT, MoU adalah mengenai kerjasama dalam bidang pendidikan tinggi.
Di bawah MOSTI, MoU mengenai program pertukaran rakyat kepada rakyat sains dan teknologi serta di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, pertukaran MoU untuk bidang perumahan dan pembangunan bandar.
Terdahulu, kedua-dua pemimpin mengadakan pertemuan tertutup untuk membincangkan hubungan dua hala antara Malaysia dan China dan bertukar-tukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama.
Anwar kemudiannya meraikan Li dalam majlis makan tengah hari di Seri Perdana di sini.
Nnn
