- GENEVA: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan angka kematian kanak-kanak dan wanita akibat konflik global masing-masing meningkat tiga kali serta dua kali ganda pada tahun lalu berbanding tahun sebelumnya.
Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Hak Asasi Manusia, Volker Turk, memberitahu Majlis Hak Asasi Manusia PBB di Geneva, semalam, konflik bersenjata turut menyebabkan jumlah kematian orang awam secara keseluruhan melonjak 72 peratus, tahun lalu.
“Pihak berperang semakin melampaui batas yang boleh diterima – dan juga undang-undang,” katanya.
Beliau menegaskan, pihak terbabit ‘menginjak-injak hak asasi manusia dengan semahunya’, malah kejadian orang awam dibunuh dan dicederakan serta tindakan memusnahkan infrastruktur penting kini berlaku secara harian.
“Kanak-kanak ditembak. Hospital dibom. Serangan artileri berat dilancarkan ke atas seluruh komuniti. Semua itu bersama retorik penuh kebencian, perpecahan serta tidak berperikemanusiaan,” katanya.
Turk juga terkejut dengan ketidakpedulian pihak terbabit dalam konflik di Semenanjung Gaza, terhadap hak asasi manusia antarabangsa dan undang-undang kemanusiaan, selain kematian serta kesengsaraan yang begitu menyayat hati.
Beliau turut merujuk kesan konflik lain serata dunia, termasuk di Ukraine, Congo, Syria dan Sudan.
Pada masa yang sama, kemusnahan sedemikian berlaku ketika dana terus berkurangan untuk membantu semakin ramai orang yang memerlukan sambil merujuk setakat akhir Mei 2024, jurang antara keperluan pembiayaan kemanusiaan dengan sumber yang ada ialah sebanyak AS$40.8 bilion.
