KUALA LUMPUR 18 Jun – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dipersembahkan laporan terkini Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Untuk Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.
Laporan itu dipersembahkan oleh Pengerusi RCI, Tun Md Raus Sharif kepada Seri Paduka di Istana Negara hari ini dalam sesi yang berlangsung hampir sejam.
Februari lalu, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri (JPM), memaklumkan Sultan Ibrahim memperkenan penubuhan suruhanjaya berkenaan, berkuat kuasa serta merta selaras Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119).
Pada 23 Mei 2008, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) memutuskan Singapura mempunyai hak terhadap Batu Puteh, manakala Batuan Tengah yang terletak tidak sampai satu kilometer dari pulau itu milik Malaysia.
Selain itu, ICJ memutuskan hak milik Tubir Selatan, kira-kira empat kilometer dari Batu Puteh akan ditentukan mengikut persempadanan perairan negara yang menguasainya.
Pada 2 Februari 2017, Malaysia memfailkan permohonan bagi semakan terhadap keputusan ICJ pada 23 Mei 2008.
Bagaimanapun, pada Mei 2018, kerajaan yang ketika itu ditadbir Pakatan Harapan (PH) di bawah pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri, menarik balik permohonan berkenaan dua minggu sebelum kes dijadualkan didengar pada 11 Jun 2018.
Pada 27 Februari lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said, berkata penubuhan RCI itu bagi mencari jalan penyelesaian serta mengorak langkah penambahbaikan berkaitan sebarang isu membabitkan kedaulatan negara dan bukan untuk mencari kesalahan mana-mana pihak.
Azalina berkata, rakyat Malaysia, khususnya rakyat Johor, wajar diberikan penjelasan mengenai sebab dan faktor sebenar yang mendorong keputusan untuk tidak meneruskan permohonan semakan dan permintaan tafsiran kes kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan di ICJ.
Pada 12 Jun baru-baru ini, Dr Mahathir memberi keterangan pada prosiding RCI yang dijalankan secara tertutup.
Nnn
