PUTRAJAYA 17 Jun – Selepas dikritik pelbagai pihak, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) tampil menjelaskan bahawa pelaksanaan Program Sentuhan Maya atau pasukan ‘duta dalam talian’ tidak membabitkan kos tambahan.
Menterinya, Nga Kor Ming, berkata ini kerana ‘duta’ berkenaan terdiri daripada kakitangan KPKT bertujuan mempromosikan produk dan perkhidmatan kementerian itu dengan lebih baik.
Beliau berkata, program itu antara lain bertujuan membina kapasiti penggunaan media sosial dan teknologi baharu dalam kalangan penjawat awam, terutama dalam era digitalisasi.
Duta dalam talian atau pempengaruh (KOL) KPKT ini adalah sukarelawan kementerian yang teruja untuk turut serta daripada pelbagai jabatan dan agensi seliaan KPKT.
Ia bertujuan menyampaikan mesej jelas kepada rakyat mengenai program, produk dan perkhidmatan ditawarkan KPKT serta agensi di bawahnya.
“Selain itu, ia dapat memberi ruang untuk mereka menyuarakan pendapat secara terbuka dan kreatif mengenai perkhidmatan Kerajaan Madani,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sebelum ini, pelbagai pihak menyifatkan langkah itu satu pembaziran dan ada pertindihan tugasan seperti dibangkitkan Gerakan dan Putra.
Semalam, bekas Menteri KPKT, Zuraida Kamaruddin, yang turut mempersoalkan program berkenaan mendakwa, ia tindakan merugikan kerana masa penjawat awam terbabit seharusnya diguna untuk mengendalikan tugas hakiki.
Zuraida antara lain mengetengahkan kebimbangan mengenai kemungkinan fungsi kakitangan kerajaan terbabit akan berubah menjadi jentera politik kepada parti pemerintah.
Beliau berpendapat pelantikan itu tidak perlu, apatah lagi pentadbiran Kerajaan Madani mempunyai jentera komunikasi mencukupi yang tidak memerlukan ‘pertolongan’ daripada penjawat awam.
Mengulas lanjut, Kor Ming berkata, latihan susulan kepada KOL KPKT disediakan oleh Unit Komunikasi Korporat kementerian untuk membantu penjawat awam menguasai media sosial masing-masing.
Beliau berkata, inisiatif itu antara lain mampu menjadi instrumen untuk mengisi masa terluang penjawat awam terbabit selepas waktu kerja.
“Inisiatif KPKT yang mesra rakyat termasuk MyKiosk 2.0 dengan sewaan kurang RM300 sebulan, sistem TEDUH Jabatan Perumahan Negara untuk semakan latar belakang pemaju, dan kandungan pendidikan seperti kaedah menggunakan alat pemadam api dengan betul, adalah antara inisiatif serta kandungan yang patut dipromosikan.
“Program dalaman ini turut membantu membina imej positif kerajaan dengan menyampaikan maklumat sahih dan menangkis fitnah yang berleluasa,” katanya.
Nnn
