Krisis kesihatan semakin parah

GENEVA: Krisis kesihatan semakin parah di Tebing Barat di mana sekatan, keganasan dan serangan terhadap infrastruktur kesihatan semakin memuncak sekali gus menghalang akses perubatan.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam satu kenyataan, berkata pihaknya menggesa supaya ‘perlindungan segera dan aktif terhadap orang awam serta penjagaan kesihatan diperingkatkan di Tebing Barat’.

Ia menyatakan, peningkatan keganasan di Tebing Barat termasuk di Baitulmaqdis Timur sejak perang di Gaza meletus pada 7 Oktober sehingga 10 Jun lalu menyebabkan 521 rakyat Palestin terbunuh termasuk 126 kanak-kanak.

Bagaimanapun, pegawai Palestin meletakkan angka kematian di Tebing Barat lebih tinggi, sekurang-kurangnya 545 rakyat Palestin dibunuh oleh tentera atau peneroka Israel sejak perang Gaza meletus.

Selain kematian, lebih 5,200 mangsa termasuk 800 kanak-kanak cedera, kata WHO, sambil menekankan krisis itu hanya menambah ‘beban trauma dan penjagaan kecemasan yang semakin meningkat di kemudahan kesihatan yang lama terjejas’.

Tebing Barat yang diduduki Israel sejak 1967, mengalami lonjakan keganasan selama lebih setahun, tetapi lebih ketara lagi sejak perang Israel-Hamas di Gaza meletus lebih lapan bulan lalu.

Semalam, WHO berkata, kemudahan penjagaan kesihatan di Tebing Barat juga menghadapi peningkatan serangan.

Antara tempoh 7 Oktober dan 28 Mei, WHO menjelaskan pihaknya mendokumenkan 480 serangan sedemikian di Tebing Barat, termasuk ke atas kemudahan kesihatan dan ambulans dan penahanan pekerja kesihatan serta pesakit.

WHO juga menyatakan kebimbangan dan memberi amaran krisis fiskal yang berlarutan menjadikan keadaan lebih teruk sejak 7 Oktober apabila Israel meningkatkan penahanan hasil cukai yang dimaksudkan untuk wilayah Palestin.

Ini turut memberi kesan kepasa sektor penjagaan kesihatan kerana menyebabkan ‘pekerja kesihatan hanya menerima separuh daripada gaji mereka selama hampir setahun dan 45 peratus ubat penting kehabisan stok’.

Related posts

Leave a Comment