JOHANNESBURG: Beberapa parti politik menunjukkan minat untuk menyertai Kerajaan Perpaduan Nasional yang dicadangkan, susulan Parti Kongres Nasional Afrika (ANC),tidak mempunyai majoriti.
Setiausaha Agung ANC, Fikile Mbalula berkata mereka sudah mencapai persetujuan bersama dengan beberapa parti politik mengenai pembentukan kerajaan perpaduan, namun belum ada butiran lanjut berhubung perbincangan mengenainya.
“Semangat perbincangan adalah baik. Kami tidak akan berundur dari konsep Kerajaan Perpaduan Nasional, kerana kami percaya konsep ini bagi kami mewakili hasil pilihan raya.
“Tiada majoriti mutlak dan kami tidak dalam kedudukan untuk memerintah sendiri,” katanya bercakap kepada pemberita sejurus selepas Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Kebangsaan ANC di Cape Town.
Beliau memaklumkan bahawa perjanjian yang dicapai oleh parti-parti mengenai Kerajaan Perpaduan akan diumumkan secara telus.
ANC, yang pernah dipimpin oleh ikon global Nelson Mandela, mendominasi politik Afrika Selatan selama tiga dekad yang lalu sehingga kehilangan majoriti dalam pilihan raya nasional dan wilayah pada 29 Mei lalu.
Parti itu, yang biasa mendapat lebih daripada 60 peratus undi dalam semua pilihan raya sejak 1994, kecuali pada 2019, apabila bahagiannya merosot kepada 57.5 peratus, hanya mendapat 40.18 peratus undi kali ini .
ANC kini mempunyai 159 Ahli Parlimen dalam Dewan Negara yang mempunyai 400 ahli, manakala pembangkang utama pusat-kanan, Perikatan Demokrasi (DA) mempunyai 87,.
Parti uMkonto Wesizwe mempunyai 58, Pejuang Kebebasan Ekonomi (39), Parti Inkatha Freedom yang berhaluan kanan (IFP) (17), dan baki 14 parti dalam parlimen mempunyai antara sembilan hingga satu kerusi setiap satu.
