Kadar sewa bas, van persiaran naik 20 peratus

KUALA LUMPUR 14 Jun – Persatuan Pelancongan Domestik Malaysia (MITA) akan menaikkan kadar sewaan bas dan van persiaran sebanyak 20 peratus mulai 17 Jun ini, kata Presidennya, Leong Hoon Min.

Beliau berkata kenaikan itu sementara menunggu keputusan dibuat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta kementerian lain yang berkaitan isu subsidi yang akan dibincangkan bulan depan.

“MITA akan memantau kenaikan harga berkenaan dari semasa ke semasa selaras harga minyak diumumkan kerajaan.

Kenaikan harga tertakluk keadaan semasa dan keputusan berkenaan dibuat berdasarkan keperimanusiaan dan penyelesaian jangka pendek,” katanya kepada pemberita hari ini.

Hoon Min berkata MITA akan berbincang dengan pihak berkaitan sehingga mendapat satu keputusan terbaik untuk jangka masa panjang, sambil mengalu-alukan pemain industri untuk sama-sama berjuang dalam usaha berkenaan.

Kenaikan harga diesel menyebabkan kos operasi bas dan van persiaran meningkat secara mendadak, sekali gus membebankan pengusaha dan memberi impak kepada tempahan awal pelancong,” katanya.

Harga diesel di semua stesen runcit Semenanjung ditetapkan pada kadar RM3.35 seliter bermula 10 Jun iaitu harga pasaran tanpa subsidi berdasarkan purata bulan Mei 2024 mengikut formula Mekanisme Harga Automatik.

Terdahulu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata kerajaan tiada rancangan untuk memberikan subsidi diesel kepada bas persiaran kerana ia sebahagian besarnya digunakan oleh pelancong asing.

Beliau menegaskan, syarikat bas dan van lain akan menerima subsidi sebagai ganti harga diesel yang diapungkan.

Manakala , Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata untuk tempoh seterusnya, harga diesel akan diumum setiap minggu mengikut amalan semasa Kementerian Kewangan dan kerajaan terus memantau keadaan bagi mengelakkan ketidakstabilan harga.

Mengulas lanjut, Hoon Min berkata kenaikan kos bahan api akan menyebabkan kesan berantai kepada harga dan membebankan pelancong, terutamanya pelancong tempatan.

“Kenaikan harga minyak itu akan memberi kesan negatif kepada pelancong tempatan, mengurangkan kemampuan mereka untuk melancong dalam negara.

“Ia juga memberi kesan kepada operasi harian pengusaha bas pelancongan dan mengurangkan keupayaan mereka untuk beroperasi dengan cekap dan berkesan,” katanya.

Related posts

Leave a Comment