Naib Presiden Malawi terbunuh nahas pesawat

MALAWI: Naib Presiden Malawi, Saulos Chilima, 51 terbunuh dalam nahas kapal terbang, bersama sembilan yang lain selepas pasukan mencari dan menyelamat (SAR) menemui serpihan pesawat itu di dalam hutan.

Presiden Malawi, Lazarus Chakwera, ketika mengumumkan nahas itu berkata, pasukan SAR menemui pesawat itu yang musnah sepenuhnya tanpa ada yang terselamat, kerana semua penumpang di dalamnya terbunuh akibat terhentak.

“Kata-kata tidak dapat menggambarkan betapa sedihnya hati ini,” katanya sambil menyifatkan kemalangan itu sebagai ‘tragedi yang dahsyat’.

Pesawat tentera yang membawa Chilima, dan rombongannya dilaporkan hilang semalam, selepas ia gagal mendarat di bandar utara Mzuzu akibat cuaca buruk dan diarah berpatah balik ke ibu negara, Lilongwe.

Pasukan penyelamat memasuki hutan yang diselubungi kabus di selatan Mzuzu hari ini, selepas pihak berkuasa menemui menara terakhir tempat ia menghantar isyarat sebelum pesawat itu hilang.

Terdahulu, Komander Tentera, Jeneral Paul Valentino Phiri, berkata negara lain termasuk negara jiran Malawi, membantu usaha mencari, dengan sokongan termasuk helikopter dan dron.

Kumpulan itu berlepas pada pukul 9 pagi (0700 GMT) dari Lilongwe semalam untuk menghadiri pengebumian seorang bekas menteri Kabinet kira-kira 370 kilometer (km) dari Mzuzu.

Bekas wanita pertama Malawi, Shanil Dzimbiri, turut berada di dalam pesawat.

Chakwera berkata beliau sebelum ini pernah menaiki pesawat berkenaan untuk perjalanan yang sama.

“Walaupun rekod prestasi pesawat bersih dan anak kapal berpengalaman, sesuatu yang buruk berlaku dengan pesawat itu ketika penerbangannya berpatah balik ke Lilongwe, menyebabkan ia terhempas,” katanya.

Naib presiden yang pertama kali dilantik pada 2014, Chilima adalah tokoh yang disayangi ramai di Malawi, terutama dalam kalangan anak muda.

Pada 2022, semasa menjalankan tugasnya bagi penggal kedua, Chilima dilucutkan kuasanya selepas ditangkap dan didakwa atas tuduhan rasuah berhubung skandal rasuah membabitkan ahli perniagaan British-Malawi.

Bulan lalu, mahkamah Malawi membatalkan pertuduhan dan dia meneruskan tugas rasminya.

“Chilima adalah seorang lelaki baik, seorang bapa dan suami yang setia, seorang warganegara patriotik berkhidmat untuk negaranya dengan cemerlang serta seorang naib presiden yang hebat.

“Saya menganggapnya sebagai satu penghormatan terbesar dalam hidup saya untuk mendapatnya sebagai timbalan dan kaunselor saya selama empat tahun yang lalu,” kata Chakwera.

Related posts

Leave a Comment