Rebat air percuma 10,000 liter

TANJONG 6 Jun –  Selepas kebanyakan pengguna mengeluh dan terkejut dengan tarif baharu air, kerajaan negeri memberikan rebat dalam bentuk air percuma 10,000 liter pertama bagi setiap bil air selama enam bulan.

Pada masa yang sama, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) juga diminta meluaskan skim Rebat Mesra Keluarga RM20 bagi isi rumah besar.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital negeri Zairil Khir Johari berkata pemberian air percuma itu berkuat kuasa Julai hingga Disember 2024 dan skim rebat pula melibatkan isi rumah besar iaitu lapan orang ke atas dengan pendapatan RM5,000 ke bawah.

“Dengan rebat ini, semua pengguna air domestik akan menikmati rebat RM6.20 pada setiap bil. Sebagai contoh, pengguna dalam band pertama hanya perlu membayar RM6.20 (RM12.40 tolak RM6.20) untuk dua bulan.

Bagi pengguna dalam band kedua yang dibil sebanyak RM30 hanya perlu membayar RM23.80 untuk dua bulan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata kerajaan negeri mengambil maklum rintihan mengenai kadar tarif air domestik baharu yang dilaksanakan sejajar dengan pelarasan semula tarif air oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) berkuat kuasa sejak Februari 2024.

Zairil berkata walaupun Pulau Pinang masih menikmati tarif kedua terendah di negara ini dengan tarif baharu, ramai mengeluh kerana peningkatan mendadak berbanding dengan tarif dahulu yang tidak diselaraskan selama 31 tahun bagi band pertama (20 meter padu) dan sembilan tahun bagi band-band lain.

Sebelum ini, sejak pelarasan kadar tarif air domestik pada Februari lepas, pengguna di Pulau Pinang terkejut dengan peningkatan kadar bil bekalan air dengan kebanyakan meningkat lebih 100 peratus sehingga lebih 150 peratus.

Related posts

Leave a Comment