MIMBAR Jumaat hari ini membicarakan khutbah bertajuk : “Muafakat Meraih Berkat”. Khatib menarik perhatian mengenai kombinasi peranan ulama, umara dan rakyat yang merupakan elemen utama dalam menentukan kejayaan dan kesejahteraan sesebuah negara.
Dalam situasi menangani penularan wabak Covid-19, gandingan semua pihak mula menampakkan natijah yang baik.
Perintah Kawalan Pergerakan secara berperingkat dengan penguatkuasaan Prosedur Operasi Standard oleh Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan disokong oleh semua agensi dan rakyat adalah langkah yang tepat pada masanya.
Ini bertepatan dengan kaedah yang menyatakan urus tadbir pemerintah ke atas rakyat adalah mengambil kira maslahah. Justeru mimbar mengajak masyarakat meneruskan perjuangan memerangi Covid-19 ini dengan terus istiqamah melaksanakan saranan yang dikeluarkan KKM.
Antaranya, mengamalkan tahap kebersihan yang tinggi seperti kerap mencuci tangan dengan air dan sabun atau menggunakan ‘hand sanitizer’.; mengamalkan adab yang betul ketika batuk dan bersin; mengamalkan penjarakan sosial sekurang-kurangnya 1 meter antara satu sama lain dan elakkan berada di tempat sesak dengan orang ramai.
Kita juga digalakkan memakai penutup mulut dan hidung; mengelakkan bersalaman atau bersentuhan dengan orang lain; mengamalkan pemakanan sihat dan seimbang dan kekal di rumah jika tiada urusan penting di luar.
Di samping mengikuti saranan kerajaan sebagai satu usaha dan ikhtiar, kita jangan lupa berdoa dan bermunajat kepada Allah SWT untuk melindungi kita daripada wabak penyakit ini.
Doa yang penuh tadarru’ dengan mengakui akan kelemahan dan kedaifan makhluq dan mengiktiraf kekuatan dan keperkasaan Khaliq merupakan asbab terlerainya kekusutan, diturunkan pertolongan, diterangkan hati yang kelam dan dipermudahkan urusan.
Daripada Ali bin Abi Talib RA berkata, Rasulullah SAW bersabda : Doa itu senjata mukmin, tiang agama dan cahaya yang menerangi langit dan bumi.
ِManakala firman Allah dalam Surah al A’araf ayat 55 yang maksudnya:
: Berdoalah kepada Tuhanmu denagn merendah diri dan dengan suara yang perlahan. Sesungguhnya Allah tidak suka orang yang melampaui batas.
Khatib juga mengajak menghayati firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah, ayat 153 yang maksudnya : Wahai orang yang beriman mintalah pertolongan ( untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah ) dengan bersabar dan mengerjakan solat kerana sesuangguhnya Allah bersama orang yang sabar.
Teks khutbah Jakim
Foto hiasan masjid Quba