KUALA LUMPUR 5 Jun – “Tak dapat tanduk, telinga dipulas,” kata Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin berhubung pendakwaan terbaharu terhadap anaknya hari ini.
Ahli Parlimen Larut itu berkata, pendakwaan ke atas anaknya adalah siri perancangan pembunuhan karakter politik (political character assassination) yang sebenarnya ditujukan kepadanya sebagai Ketua Pembangkang.
Beliau mendakwa keadaan itu terjadi setelah segala usaha Kerajaan PH-BN pimpinan Anwar Ibrahim memperalatkan pelbagai agensi kerajaan bagi mencipta naratif, persepsi serta mengada-adakan pertuduhan politik ke atas pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia termasuk dirinya gagal.
“Ini merupakan taktik lapuk yang memperlihatkan kemandulan Kerajaan PH-BN dalam usaha terdesak mereka menutup mulut para pengkritik dengan menyasarkan pemimpin Perikatan Nasional dan ahli keluarga mereka.
Saya percaya akhirnya kebenaran akan mengatasi kebatilan dan kezaliman,” kata Setiausaha Agung Bersatu itu dalam kenyataan malam ini.
Pagi tadi, anak lelakinya, Muhammad Faisal, 40, yang juga ahli perniagaan
didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, atas pertuduhan menerima rasuah RM100,000.
Muhammad Faisal, dituduh menerima wang berkenaan daripada Izmir Abd Hamid yang didakwa sebagai bayaran untuk Heitech Padu Bhd (Heitech Padu) melantik Syarikat Rimba Merpati Sdn Bhd dan Syarikat Per My Solutions sebagai perunding pemasaran.
Kesalahan itu dikaitkan dengan Heitech Padu yang dikatakan diberi tender RM33 juta oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) untuk pembekalan, penyewaan, pelaksanaan, latihan, sokongan dan penyelenggaraan infrastruktur keselamatan.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah pejabat dekat Publika Shopping Gallery, Jalan Dutamas 1, di sini pada Mac 2018. Jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009, boleh dipenjara sehingga 20 tahun, denda lima kali ganda nilai rasuah atau RM10,000, mana lebih tinggi.
Faisal mengaku tidak bersalah dan mahkamah membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM25,000 selepas memerintahkan dia menyerahkan pasport sehingga kes selesai, selain menetapkan 5 Julai depan untuk sebutan semula kes.
Ini kali kedua Faisal dihadapkan ke mahkamah selepas pada April tahun lalu, dia didakwa dan kemudian mengaku tidak bersalah atas sembilan pertuduhan kes seleweng minyak masak bersubsidi di Mahkamah Sesyen Seremban.
Nnnn
