Manifestasi kebangkitan negara

PUTRAJAYA 17 Sept. – Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob menyifatkan sambutan Hari Malaysia 2022 peringkat kebangsaan amat meriah dan menjadi manifestasi kebangkitan negara selepas bergelut dengan pelbagai cabaran pada tahun-tahun sebelumnya.

Katanya, sambutan di Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan Banda Hilir, Melaka malam tadi sungguh bermakna, dan mengimbau kembali detik-detik laungan kemerdekaan oleh perdana menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

“Saya bangga dengan penganjuran Hari Malaysia yang penuh gilang-gemilang ini. Terima kasih Keluarga Malaysiaku,” katanya menerusi catatan di akaun Facebook, hari ini.

Sambutan Hari Malaysia itu menampilkan keunikan tema busana era 50-an dan 60-an yang dipilih bagi meraikan hari memperingati pembentukan Malaysia.

Sementara itu, jumlah pengunjung yang memeriahkan sambutan, malam tadi, dianggarkan mencecah 50,000 orang.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Annuar Musa, berkata jumlah itu melebihi sasaran pihaknya, iaitu seramai 20,000 pengunjung.

“Saya belum mendapat laporan penuh tetapi melihat kepada kepadatan di sekitar lokasi sambutan, saya percaya ia mencapai jumlah antara 40,000 hingga 50,000 orang,” katanya selepas majlis perasmian sambutan itu disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Mengulas lanjut, Annuar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk sambutan itu berkata, tema pakaian era 50-an dan 60-an juga dianggap sebagai berjaya kerana langkah memperagakan busana lama itu adalah nostalgia yang jarang dapat dilihat sekarang.

Ia juga baik untuk sektor pelancongan kerana secara tidak langsung dapat memperkenalkan kepelbagaian tradisi dan budaya pelbagai etnik di negara ini,” katanya.

Annuar sekali gus mengucapkan tahniah kepada semua yang terbabit menjayakan sambutan itu, khususnya Kerajaan Melaka.

“Penganjuran Sambutan Hari Malaysia selepas ini dijangka kembali ke Sabah atau Sarawak, dan pada tahun berikutnya pula semula ke Semenanjung supaya semua rakyat dapat merasai kemeriahan sambutan itu,” katanya.

Related posts

Leave a Comment