BANGKOK: Mahkamah Perlembagaan Thailand bersetuju mempertimbangkan kes yang bertujuan menyingkirkan Perdana Menteri, Srettha Thavisin, susulan tindakan beliau melantik seorang Menteri yang dilaporkan mempunyai rekod sabitan jenayah.
Bagaimanapun mahkamah menolak permohonan untuk menggantung tugas Srettha sebagai Perdana Menteri sementara ia mempertimbangkan kes terbabit.
Mahkamah menerima petisyen yang dikemukakan oleh 40 Senator mengikut peraturan etika, untuk memecat Srettha daripada jawatannya selepas enam hakim mengundi menyokong dan tiga lagi menentang.
Susulan itu, Perdana Menteri diberi tempoh 15 hari untuk respons kepada kes itu.
Kes itu berkait pelantikan Pichit Chuenban – yang pernah menjalani hukuman penjara enam bulan selepas disabitkan kesalahan menghina mahkamah pada 2008 – sebagai Menteri dalam rombakan Kabinet pimpinan Srettha, baru-baru ini.
Pichit bekas peguam yang dilaporkan mempunyai hubungan rapat dengan bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra, bagaimanapun meletak jawatannya dalam Kabinet pada Selasa lalu dalam usaha untuk melindungi Srettha.
Ketika ini, Thailand mempunyai 250 Ahli Senat dilantik oleh junta yang memerintah negara ini selepas rampasan kuasa pada 2014.
Senat memainkan peranan penting dalam menentukan keputusan pilihan raya umum tahun lalu, apabila Pita Limjaroenrat daripada Parti Move Forward yang memenangi kerusi terbanyak, disekat daripada menjadi Perdana Menteri Thailand.
Nnn
