Terima kasih Lee Hsien Loong

SINGAPURA 6 Mei – Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menzahirkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong, kerana menjadi rakan karib Johor dan Malaysia.yang bakal berundur, kerana menjadi rakan karib Johor dan Malaysia.

Sultan Ibrahim bertitah, sikap dedikasi serta pandangan jauh Hsien Loong telah menyaksikan Malaysia dan Singapura menjalin hubungan kerjasama yang erat ke arah membina masa depan lebih baik.

Hsien Loong akan berundur daripada jawatannya pada 15 Mei ini dan digantikan oleh Timbalan Perdana, Lawrence Wong yang juga Menteri Kewangan.

Seri Paduka Baginda turut menzahirkan ucapan tahniah kepada pengganti Hsien Loong iaitu Timbalan Perdana Menteri, Lawrence Wong atas pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri baharu pada 15 Mei ini.

“Beta amat yakin kepemimpinan beliau akan terus memperkukuh hubungan antara kedua-dua negara kita,” titah Sultan Ibrahim pada Jamuan Negara yang berlangsung di kediaman rasmi Presiden Singapura iaitu The Istana malam ini.

Jamuan itu, yang dihoskan oleh Presiden Singapura, Tharman Shanmugaratnam, adalah sempena Lawatan Negara dua hari Seri Paduka Baginda dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah ke republik berkenaan.

Sultan Ibrahim bertitah Malaysia dan Singapura memiliki hubungan istimewa yang diikat oleh sejarah serta budaya serupa selain hubungan ekonomi yang rapat.

“Antara elemen teras hubungan kita ialah Johor dan Singapura telah menikmati hubungan yang begitu baik sejak beberapa dekad,” titah Seri Paduka Baginda.

Sultan Ibrahim turut berkenan memberi penghormatan kepada pengasas Singapura iaitu mendiang Lee Kuan Yew kerana menjadi ketua arkitek republik itu dan berkongsi kisah hubungan rapat baginda dengan keluarga Kuan Yew.

“Beliau telah meletakkan asas kukuh yang penting untuk republik ini. Beliau telah membimbing ramai orang dan suka bersyarah. Beta sendiri tidak terlepas daripada mendengar syarahan beliau. Beliau memberi syarahan mengenai pelbagai topik kepada beta dan banyak yang beta telah belajar daripada beliau,” titah Sultan Ibrahim.

Titah baginda, Perdana Menteri pertama Singapura itu, antara lain, berkongsi keperluan untuk kekal konsisten dalam sesuatu dasar kerana ia akan menarik pelabur jangka panjang yang penting kepada pertumbuhan ekonomi.

Terdahulu, Sultan Ibrahim dan Presiden Singapura melancarkan rekaan setem keluaran bersama Pos Malaysia dan SingPost bagi memulakan sambutan ulang tahun ke-100 Tambak Johor tahun ini.

Kedua-dua pemimpin turut melihat pameran foto mengenai sejarah dan peristiwa penting Tambak Johor.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment