Zafrul fail afidavit betulkan fakta

KUALA LUMPUR 22 April – Firma guaman, Cecil Abraham & Partners, hari ini memohon kebenaran memfailkan afidavit bagi membetulkan fakta tidak tepat dalam afidavit  Dr Ahmad Zahid Hamidi berkaitan Titah Adendum kes pengampunan Najib Razak.

Permohonan bagi mewakili Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, melalui surat bertarikh hari ini yang dihantar kepada Setiausaha Hakim Mahkamah Tinggi, Amarjeet Singh.

Menurut Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu, afidavit diikrarkannya adalah untuk menangani secara khusus pengataan terkandung dalam Afidavit Tambahan No 3 itu yang diikrarkan oleh Timbalan Perdana Menteri itu pada 9 April lalu.

Menurutnya, ia berikutan terdapat fakta didakwa tidak tepat yang perlu diperbetulkan menurut bidang kuasa sedia ada mahkamah dan Aturan 92 Kaedah 4 Kaedah-kaedah Mahkamah 2012.

Untuk rekod, kami (pihak pembelaan Tengku Zafrul) selanjutnya diarahkan anak guam (Tengku Zafrul) untuk menyatakan bahawa anak guam tidak mengambil pendirian dalam merit pertikaian antara pihak-pihak (dalam isu berbangkit).

“Anak guam hanya ingin memastikan fakta dikemukakan dengan tepat di hadapan mahkamah secara neutral.

Kami berharap mahkamah akan mempertimbangkan dan membenarkan permohonan kebenaran bertulis untuk memfailkan afidavit atas alasan yang dinyatakan,” katanya.

Sebelum ini media melaporkan ‘saksi kritikal’ yang mengikrarkan afidavit bagi menyokong permohonan Najib untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman mencabar kewujudan Titah Adendum atau tambahan Yang di-Pertuan Agong ke-16, disahkan adalah Ahmad Zahid.

Titah Adendum berkenaan adalah supaya bekas Perdana Menteri itu menjalani tempoh pemenjaraan selama enam tahun di rumah.

Menerusi afidavit diikrarkan Ahmad Zahid pada 9 April lalu, Timbalan Perdana Menteri itu berkata, beliau dimaklumkan mengenai kewujudan titah terbabit oleh Tengku Zafrul ketika pertemuan di rumah Presiden UMNO berkenaan di Country Heights, 30 Januari lalu.

Ahmad Zahid juga dipetik berkata, Tengku Zafrul menunjukkan kepada beliau salinan Titah Adendum itu pada telefonnya yang beliau ambil gambar dan imbas sendiri daripada salinan asal seperti ditunjukkan kepadanya oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Bagaimanapun pada Rabu lalu, Tengku Zafrul dilaporkan akan membuat permohonan kepada Mahkamah Tinggi bagi memfailkan afidavit membetulkan beberapa kesilapan fakta yang didakwa terkandung dalam afidavit difailkan Ahmad Zahid berkaitan Titah Adendum itu.

Tengku Zafrul juga dilaporkan enggan mendedahkan kesilapan fakta  yang didakwa terkandung dalam afidavit berkenaan.

Nnn

Related posts

Leave a Comment