Mohammed Hanif Omar meninggal dunia

KUALA LUMPUR 20 April – Bekas Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar, 85 meninggal dunia pukul 2.15 pagi tadi, demikian disahkan anak Allahyarham yang juga pakar penerbangan, Kapten (B) Abdul Rahmat Omar.

Melalui kiriman WhatsApp Rahmat memberitahu:

“Innalillahi wa inna ilaihi raji’un. Saya, Abdul Rahmat Omar bin Mohamed Haniff, ingin memaklumkan pemergian pulang ke Rahmatullah Ayahanda kami yang dikasihi, Tun Haji Mohammed Hanif bin Omar sekitar jam 2.15 pagi tadi, Sabtu 20 April 2024,”

Mohammed Hanif yang dilahirkan pada 16 Januari 1939 merupakan Ketua Polis Negara Malaysia yang keempat dan juga Ketua Polis Negara paling lama berkhidmat iaitu selama 20 tahun.

Beliau dilantik sebagai KPN pada usia 35 tahun pada 8 Jun 1974 bagi menggantikan Tan Sri Abdul Rahman Hashim yang telah terbunuh ditembak komunis.

Dilahirkan di Teluk Intan, Perak, Haniff Omar menjadi Ketua Polis Melaka pada 7 September 1970, dan Ketua Polis Selangor pada 6 Disember 1971 diikuti pada  1 Februari 1973 sebagai Timbalan Ketua Polis Negara.

Selepas persaraan pada Januari 1994, beliau dilantik sebagai ahli Suruhanjaya Memantapkan Pengurusan dan operasi-operasi PDRM 2004-2005.

Tun Hanif Omar adalah Penaung Yayasan Pengaman Malaysia.

Semasa memegang jawatan sebagai Ketua Polis Negara, beliau mengasaskan unit anti pengganas elit, Unit Tindakan Khas pada 1 Januari 1975.

Beliau juga mengambil bahagian dalam operasi menyelamat dalam krisis tebusan bangunan AIA pada Ogos 1975.

Selain itu, beliau juga menamakan Balai Polis Bluff Road kepada Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia, Bukit Aman pada 25 Mac 1975.

Pada 8 Jun 1976, Hanif mengumumkan semua rekrut polis akan berkhidmat dalam Pasukan Polis Hutan (Police Field Force) sebelum ditugaskan ke unit lain bagi memastikan semua anggota polis muda akan dapat menangani sebarang situasi kecemasan apabila mereka dilengkapi dengan latihan dalam hutan.

Hanif mendapat pendidikan awal di Sekolah Anglo-Chinese dan kemudiannya melanjutkan pelajaran di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK).

Sewaktu belajar di MCKK, selain aktif dalam bidang kokurikulum dengan cemerlang, beliau juga pernah menjadi Ketua Pengawas selama tiga tahun berturut-turut.

Hanif meneruskan pengajian ke Universiti Malaya dan memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sastera di Singapura pada tahun 1959 dan kemudiannya menyambung dalam bidang lain dan mendapat Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) dalam Undang-undang dari University of Buckingham di London.

Individu paling lama yang diberi mandat untuk memegang jawatan Ketua Polis Negara pada 8 Jun 1974 ketika berusia 35 tahun sebelum bersara pada 15 Januari 1994.

Hanif amat berjasa dan banyak terlibat dalam kebanyakan peristiwa penting negara seperti Ketua Pegawai Turus (Polis) Majlis Gerakan Negara (18 Mei 1969) berkaitan insiden 13 Mei.

Antara peristiwa penting yang lain ialah beliau bersama-sama dengan Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman di Persidangan Manila berhubung dengan penubuhan MAPHILINDO pada tahun 1963 dan juga merupakan antara wakil Kerajaan Malaysia dalam Perjanjian Damai yang dimeterai oleh Parti Komunis Malaya (PKM) dengan Kerajaan Malaysia dan Thailand pada 2 Disember 1989 di Haadyai, Thailand.

Related posts

Leave a Comment