Strain H5N1 dikesan dalam susu mentah

GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), mendedahkan strain virus selesema burung H5N1 dalam kepekatan yang sangat tinggi dikesan dalam susu mentah haiwan yang dijangkiti.

Bagaimanapun tidak diketahui tempoh virus itu boleh bertahan dalam susu.

Selesema burung A (H5N1) pertama kali dikesan pada 1996 namun sejak 2020, bilangan wabak pada burung meningkat dengan pesat, di samping peningkatan bilangan mamalia yang dijangkiti.

Strain itu menyebabkan kematian berpuluh juta ternakan dengan burung liar dan mamalia darat dan laut turut dijangkiti.

Lembu dan kambing turut termasuk dalam senarai bulan lalu, sekali gus menyaksikan perkembangan mengejutkan dalam kalangan pakar berikutan haiwan ternakan itu tidak dianggap terdedah kepada jenis influenza berkenaan.

Pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) awal bulan ini memaklumkan, seorang pekerja di ladang tenusu di Texas semakin pulih selepas terdedah selesema burung yang dijangkiti daripada lembu.

Kes di Texas adalah kes pertama manusia dijangkiti selesema burung disebabkan jangkitan daripada lembu.

Menurut Ketua Program Influenza Global di WHO, Wenqing Zhang, peralihan

jangkitan daripada burung ke lembu, lembu ke lembu dan lembu ke burung juga direkodkan ketika wabak semasa ini, yang menunjukkan virus itu mungkin menemui peralihan baharu daripada sebelum ini.

Dalam taklimat kepada media, di Geneva, Zhang berkata, ia kes kedua manusia diuji positif bagi penyakit selesema burung di AS dan berlaku selepas ternakan sakit yang mungkin didapati terdedah kepada burung liar.

“Ketika ini kita mendapati beberapa kumpulan lembu semakin banyak terjejas di banyak negeri di AS, menunjukkan pertambahan virus kepada mamalia.

“Virus itu juga dikesan dalam susu daripada haiwan yang dijangkiti,” katanya yang menyatakan terdapat ‘kepekatan virus yang sangat tinggi dalam susu mentah’.

Sementara itu, Jabatan Kesihatan Texas berkata, jangkitan lembu tidak menimbulkan kebimbangan terhadap bekalan susu komersial dengan sumber tenusu itu daripada lembu dijangkiti dimusnahkan, selain pasteurisasi juga membunuh virus.

“Justeru orang ramai diingatkan supaya memastikan amalan makanan selamat, termasuk hanya mengambil susu pasteur dan produk susu,” kata Zhang.

Dari 2003 hingga 1 April tahun ini, WHO berkata, pihaknya merekodkan 463 kematian daripada 889 kes manusia di 23 negara, menjadikan kadar kematian kes pada 52 peratus.

Zhang berkata, kes manusia yang direkodkan di Eropah dan AS dalam beberapa tahun kebelakangan ini sejak virus itu melonjak hanya membabitkan kes ringan.

Setakat ini, tiada bukti bahawa A(H5N1) merebak daripada manusia kepada manusia.

Nnn

Related posts

Leave a Comment