PM Lee terima Pedang Temasek

SINGAPURA 18 April – Pasukan Polis Singapura (SPF) menghadiahkan Pedang Temasek – penghormatan tertinggi yang diberikan oleh SPF kepada Perdana Menteri,  Lee Hsien Loong pada majlis jamuan malam di sini malam tadi.

Pesuruhjaya Polis Hoong Wee Teck menyampaikan Pedang Temasek itu kepada Lee pada majlis yang diadakan di Mes Pegawai Kanan Polis (SPOM).

Penghormatan itu diberikan bagi menghargai sokongan tidak berbelah bahagi Lee kepada SPF selama beberapa dekad dan ia adalah tradisi yang sekian lama wujud untuk menghargai individu terhormat yang membuat sumbangan besar kepada SPF.

Lee pada 15 April mengumumkan bahawa beliau akan menyerahkan tampuk kepemimpinan kepada Timbalan Perdana Menteri Lawrence Wong pada 15 Mei.

Sementara itu, Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Menteri Undang-Undang K Shanmugam memberikan penghormatan kepada Perdana Menteri Lee atas sumbangannya kepada Singapura.

Shanmugam menyifatkannya sebagai satu peluang yang sangat istimewa untuk berkhidmat dengan seorang pemimpin yang cemerlang dan hebat.

“Saya ingin menyampaikan setinggi-tinggi penghargaan bagi pihak Home Team dan Pasukan Polis Singapura (SPF) kerana beliau adalah penyokong tegar Polis dan Home Team, dan secara keseluruhannya, sentiasa sangat jelas tentang betapa pentingnya untuk memastikan orang ramai dapat hidup dalam persekitaran yang selamat dan baik,” kata Shanmugam.

(Foto MCI / fb LHL)

Related posts

Leave a Comment