Ibadah haji berjalan lancar

IBADAH haji yang bilangannya terhad kepada mereka yang terpilih dan tinggal di Arab Saudi menghampiri penghujungnya dengan jemaah melontar jamrah sejak Jumaat lalu. Semua ibadah berjalan lancar sama ada di Arafah, Muzdalifah dan Mina. Tiada kes jangkitan Covid-19 dilaporkan.

Dalam mengendalikan pergerakan jemaah tahun ini, pihak berkuasa Arab Saudi mengambil pelbagai langkah untuk memastikan kesempurnaan ibadah sambil jemaah mematuhi sepenuhnya peraturan yang ditetapkan bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Di Makkah, pihak berkuasa menggunakan sebanyak 54,000 liter cecair pembasmi kuman setiap hari untuk membersihkan Masjidilharam pada musim haji tahun ini.

“Pihak institusi menggunakan sekitar 2,400 liter pembersih setiap hari, termasuk 1,500 liter untuk bahagian permukaan dan 900 liter bagi pembersihan manual, ” menurut kenyataan daripada pihak berkuasa.

Operasi itu membabitkan seramai 3,500 pekerja sejak beberapa hari lalu yang membersihkan bahagian dalam dan luar masjid sehingga 10 kali sehari. Para pekerja menggunakan sekurang-kurangnya 95 peralatan moden untuk mengerjakan proses pembersihan.

Sementara itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memuji usaha dan inisiatif yang dilakukan Arab Saudi dalam memastikan garis panduan dan protokol ibadah haji tahun ini dipatuhi susulan penularan Covid-19.

Ketua Pengarah WHO, Dr Tedros Ghebreyesus mengucapkan tahniah kepada Arab Saudi atas usaha yang dilakukan dalam memastikan ibadah haji tahun ini dalam keadaan selamat.

“Ini gambaran jelas bahawa garis panduan ketat boleh dilaksanakan sesebuah negara untuk menerima norma baharu,” katanya pada sidang media di Geneva Khamis lalu.

Ibadah haji tahun ini menyaksikan pelaksanaannya dilakukan pada skala lebih kecil iaitu hanya sekitar 10,000 jemaah, jauh lebih kecil berbanding 2.5 juta jemaah dari seluruh dunia pada tahun lalu.

Jemaah haji diwajibkan memakai pelitup muka dan mematuhi penjarakan fizikal ketika melakukan wukuf, tawaf dan upacara keagamaan lain sepanjang lima hari di Makkah dan beberapa lokasi lain.

Mereka juga diwajibkan menjalani pemeriksaan suhu dan perlu ditempatkan dalam kuarantin sejak mereka mulai memasuki Makkah pada hujung minggu lalu.

(Foto fb Live in Saudi Arabia)

Related posts

Leave a Comment