Prof Fatimah Hamid Don meninggal dunia

KUALA LUMPUR 26 April  – Tokoh pendidik yang juga profesor wanita Melayu pertama Puan Sri Prof Emeritus Dr Fatimah Hamid Don meninggal dunia di Hospital Tawakal di sini, pukul 2.35 pagi ini pada usia 89 tahun.

Bekas Dekan Universiti Malaya (UM) itu menghembuskan nafas terakhir ketika dalam fasa pemulihan selepas mengalami strok sejak setahun lepas.

Berasal dari Batu Gajah, Perak Allahyarham memiliki Ijazah Sarjana (Geografi) pada tahun 1968 dan Ijazah Kedoktoran (Pengajaran dan Kurikulum) (1971) dari University Southern California, Los Angeles, Amerika Syarikat.

Sumbangan Allahyarham sangat besar terhadap bidang pendidikan di Malaysia selain aktif dalam membangunkan dasar dan menarik taraf kehidupan golongan wanita.

Allahyarham memulakan kerjaya sebagai pensyarah pada 1972 di Fakulti Pendidikan, UM seterusnya dilantik sebagai Profesor Perkembangan Kurikulum yang juga Pakar Runding Kurikulum, Kementerian Pendidikan sekali gus menjadi wanita Melayu pertama yang dilantik menjadi professor.

Selepas berkhidmat selama 26 tahun di Universiti Malaya, Allahyarham bersara pada tahun 1990.

Ketika pembabitannya sebagai pendidik, Allahyarham telah menulis dan mengeluarkan lebih 250 kertas kerja untuk majalah dan sebaran am.

Antara makalah yang memuatkan tulisan beliau ialah Jurnal Pendidikan, Wanita, Commonwealth Education Liaison Committee Newsletter dan prosiding persidangan-persidangan lain.

Allahyarham juga diberi amanat untuk terbabit menghasilkan draf Dasar Wanita Negara, Pelan Tindakan Pembangunan Wanita dan laporan persidangan wanita sedunia PBB serta laporan Convention on the Right of the Child (CRC) dan Convention on the Elimination of All Forums of Discrimination Against Women (CEDAW).

Dalam sektor pendidikan, Allahyarham pernah berkhidmat sebagai pakar dan menjadi ahli jawatankuasa dalam pelbagai organisasi serta pertubuhan.

Allahyarham juga dianugerahkan dengan pelbagai pingat dan darjah kebesaran antaranya ialah Darjah Setia Diraja Kedah (1989), Pingat Emas Tun Fatimah daripada Majlis Kebangsaan Pertubuhan-pertubuhan Wanita Malaysia dengan gelaran Srikandi (1988).

Ijazah Kehormat Doktor Persuratan daripada Universiti Perguruan Sultan Idris (2001) dan Profesor Emeritus oleh UM (2004).

Di peringkat antarabangsa pula, Allahyarham diberi pengiktirafan Pi Lambda Theta (daripada Alpha Delta, University of California, Los Angeles, 1971), Citizen of the Age of Enlightenment Award (World government of the Age of Enlightenment-Maharishi European Research University, 1976).

Honorary Fellowship of the International Understanding Honor Society, Ohio University, Athens (1985) dan menjadi ahli seumur hidup International Council on Education for Teaching, Washington DC, Amerika Syarikat.

Related posts

Leave a Comment