KUALA TERENGGANU 12 April – Keahlian enam Ahli Parlimen dan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu yang menyokong Perdana Menteri, Anwar Ibrahim sudah tergugur secara automatik dan perlu mengosongkan kerusi masing-masing.
Ketua Penerangan Bersatu, Razali Idris, berkata mereka tidak perlu menunggu surat pemecatan, sebaliknya keahlian mereka tergugur selepas Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) meluluskan usul pindaan Perlembagaan parti itu.
Katanya, mereka tidak perlu menunggu notis pemecatan daripada Bersatu sebaliknya kelulusan pindaan perlembagaan parti yang dibuat pada Perhimpunan Agung Khas (EGM) parti itu, 2 Mac lalu, sudah memadai.
Parti hanya akan menghantar surat pemakluman berserta notis kelulusan pindaan Perlembagaan parti seperti diluluskan ROS.
“Sebaliknya jika anak jantan (gentleman), lepaskan jawatan dan umum kosongkan kerusi,” katanya mengulas mengenai wakil rakyat berkenaan yang mengesahkan belum menerima apa-apa notis daripada parti itu susulan sokongan kepada Anwar.
Terdahulu Ahli Parlimen Bukit Gantang, Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal dilaporkan berkata, pihaknya masih belum menerima apa-apa notis daripada Bersatu , selepas ROS meluluskan pindaan perlembagaan.
Selain Syed Abu Hussin Hafiz, lima lagi Ahli Parlimen yang mengisytiharkan menyokong Anwar adalah Ahli Parlimen Tanjong Karang, Zulkafperi Hanapi; Zahari Kechik (Jeli); Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang); Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Ahli Parlimen Labuan, Suhaili Abdul Rahman.
ADUN Selat Klang, Abdul Rashid Asari bulan lalu, turut mengumumkan memberi sokongan kepada Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari.
Razali yang juga Ketua Badan Pimpinan Bersatu negeri berkata, mereka wajar mengumumkan kekosongan kerusi bagi membolehkan Pilihan Raya Kecil (PRK) diadakan.
“Jangan jadikan alasan menunggu notis daripada Bersatu untuk membuat keputusan,” katanya.
