SEPANG 3 April – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) merakam percakapan usahawan, Aliff Syukri Kamarzaman berhubung klip video lagu berjudul Love Raya yang menimbulkan kontroversi baru-baru ini.
Dalam satu kenyataan, MCMC memaklumkan, pihaknya dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil keterangan usahawan kosmetik itu di Ibu Pejabat MCMC di Cyberjaya, dekat sini.
Rakaman percakapan itu adalah susulan aduan yang diterima oleh MCMC berhubung kandungan video teaser hari raya yang dimuat naik usahawan itu di media sosial.
Menurut kenyataan itu, selepas kertas siasatan siap, ianya akan diserahkan kepada Peguam Negara untuk tindakan lanjut.
MCMC menegaskan, klip video raya yang dimuat naik di platform media sosial itu dilihat sebagai kandungan bersifat jelik yang boleh melanggar peruntukan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).
“Ini termasuk Seksyen 233 yang melarang pembuatan dan penghantaran komunikasi yang antara lain, bersifat jelik, lucah atau sumbang dengan niat untuk menyakitkan hati atau mengganggu orang lain.
“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 [Akta 588]. Jika sabit kesalahan, individu boleh dihukum denda maksimum RM50,000, atau penjara maksimum satu tahun, atau kedua-duanya sekali,” kata kenyataan itu.
Susulan itu juga, pegawai penyiasat sudah menyita kad sim dipercayai milik suspek serta satu unit telefon bimbit yang sudah digunakan untuk memuat naik video berkenaan bagi membantu siasatan.
Usahawan kontroversi itu sebelum ini membuat permohonan maaf selepas memuat naik klip video lagu baharu berjudul Love Raya yang memaparkan sekumpulan lelaki berkelakuan aneh dan tidak sopan pada Ramadan.
Melalui hantaran video dalam Instagram (IG), semalam, Aliff, 36, turut memohon maaf kepada ibunya yang juga usahawan, Rozita Ibrahim selepas ditegur kerana memuatnaik video tidak sepatutnya pada bulan Ramadan.
Nnnn
