KUALA LUMPUR 2 April – Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini mengumumkan agihan keuntungan selepas zakat sebanyak 3.1 peratus bagi tahun kewangan 2023, sama seperti kadar tahun kewangan sebelumnya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata agihan keuntungan itu membabitkan sejumlah RM2.72 bilion, berbanding RM2.65 bilion tahun sebelumnya.
Katanya, ia akan memberi manfaat kepada lebih 9.15 juta pendeposit TH dan juga selepas mengambil kira pembayaran zakat sebanyak 2.57 peratus.
“Alhamdulillah, TH masih lagi dapat memberikan agihan keuntungan pada kadar 3.10 peratus, sama seperti tahun sebelumnya meskipun negara terus berdepan persekitaran yang mencabar tatkala ekonomi berkembang perlahan serata dunia,” katanya pada sidang media pengumuman agihan keuntungan TH di sini, hari ini.
Beliau berkata, prestasi TH pada tahun 2023 didorong oleh pelaburan patuh syariah di dalam instrumen pendapatan tetap yang menjana 52 peratus daripada jumlah pendapatan keseluruhan, manakala 24 peratus disumbang oleh pelaburan ekuiti.
Katanya , pulangan daripada pelaburan hartanah dan pasaran wang menyumbang 24 peratus kepada jumlah pendapatan, menjadikan jumlah terkumpul agihan keuntungan sejak penubuhan selama 60 tahun sebanyak RM42.9 bilion sehingga kini.
Mohd Na’im berkata, TH juga akan melunaskan zakat sebanyak RM101 juta kepada semua Majlis-majlis Agama Islam negeri-negeri bagi pihak pendeposit TH pada kadar 2.57 peratus untuk tahun 2023.
Katanya, TH berharap dengan pelunasan zakat ini, secara langsung atau tidak langsung dapat membantu usaha kerajaan menoktahkan kemiskinan tegar di seluruh negara.
“Dengan pelunasan zakat ini, pendeposit tidak perlu lagi membayar zakat ke atas wang simpanan serta agihan keuntungan yang diterima. Sehingga kini TH telah melunaskan zakat berjumlah RM1.37 bilion bagi pihak pendeposit.
“TH telah menyantuni lebih 560,000 asnaf di seluruh negara pada tahun 2023 melalui Program Zakat Wakalah. TH menjadi wakil kepada Majlis Agama Islam negeri-negeri untuk mengedarkan sendiri sebahagian daripada dana zakat ini kepada asnaf.
“Secara keseluruhannya, lebih 1.6 juta asnaf termasuk golongan miskin tegar menerima manfaat dari Program Zakat Wakalah Tabung Haji,” katanya.
Yang turut hadir, Pengerusi TH, Abdul Rashid Hussain dan Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Syed Hamadah Syed Othman.
Nnn
