KUALA LUMPUR 2 April – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan mengambil beberapa langkah susulan berikutan keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) meluluskan pindaan Perlembagaan parti itu.
Setiausaha Agungnya, Hamzah Zainudin, berkata, langkah susulan itu bagi memastikan segala tindakan selepas ini akan mengikut perlembagaan dan undang-undang.
“Pada masa sama, proses pemerkasaan parti sedang dilunaskan dan insya-Allah Bersatu serta Perikatan Nasional akan kekal menjadi suara serta pilihan rakyat,” dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau yang juga Ketua Pembangkang berkata, Bersatu menzahirkan terima kasih kepada ROS kerana meluluskan pindaan Perlembagaan Bersatu yang diluluskan sebulat suara dalam Perhimpunan Agung Luar Biasa (EGM) parti pada 2 Mac lalu.
Pindaan Perlembagaan Bersatu itu membabitkan pelucutan serta-merta keahlian wakil rakyatnya jika menyatakan sokongan kepada mana-mana pihak yang bertentangan dengan arahan atau pendirian parti.
Sebelum pindaan itu dilakukan, enam Ahli Parlimen Bersatu mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dan pada masa yang sama mengekalkan keahlian parti.
Ahli Parlimen terbabit ialah Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan).
Pada 7 Mac lalu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Bersatu, Abdul Rashid Asari (Selat Klang), turut memberi sokongan sama kepada Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari.
