KOTA BHARU 31 Mac – Program MySaveFood berjaya mengumpul hampir 2.5 tan makanan dan minuman yang tidak terjual di empat bazar Ramadan di sini dalam tempoh dua minggu bermula 1 Ramadan lalu.
Makanan dan minuman itu dikumpulkan oleh sukarelawan daripada Gerakan Pengguna Siswa (GPS) membabitkan Bazar Ramadan Rahmah di Mydin Hipermall Tunjong; Kubang Kerian; Pengkalan Chepa serta Pantai Irama (Bachok).
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan, Azman Ismail berkata program bertujuan menyelamatkan makanan dan minuman yang tidak habis dijual oleh peniaga serta mengelakkan pembaziran.
Antara makanan yang berjaya dikumpulkan oleh sukarelawan ialah nasi berlauk, kuih muih, mi goreng dan berkuah, lauk bergoreng dan bakar, makanan barat, pencuci mulut dan air minuman.
“Lebihan makanan ini akan diagihkan kepada golongan yang memerlukan seperti penduduk sekitar yang terdiri daripada golongan asnaf, rumah anak yatim, rumah kebajikan, masjid dan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang menginap di asrama,” katanya.
Beliau sebelum itu melancarkan program itu di perkarangan Bazar Ramadan Rahmah di perkarangan Mydin Hipermall Tunjong.
Katanya, program ini dilaksanakan dengan kerjasama sukarelawan dari tiga IPT di Kelantan iaitu Universiti Malaysia Kelantan (UMK) kampus Pengkalan Chepa dan Bachok serta Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian dengan dibantu sukarelawan dari Pemuda GEMA Negeri Kelanta.
Makanan dan minuman paling banyak dikumpulkan di Bazar Ramadan Pantai Irama membabitkan 1,066.20 kilogram (kg) diikuti Kubang Kerian iaitu 877.02kg.
Nnn
