Tiada andaian Muhyiddin terlibat salah laku Spanco

MERSING 25 Feb. –  Tiada kenyataan mengandaikan Muhyiddin Yassin terbabit dalam salah laku berhubung pemberian kontrak pembekalan dan penyelenggaraan kenderaan oleh Spanco Sdn Bhd (Spanco) kepada kerajaan.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki, berkata beliau hanya membuat kenyataan umum dan tidak pernah mengaitkan bekas Perdana Menteri itu dalam kes berkenaan.

Pada masa yang sama Azam turut mempersoal maksud sebenar penafian yang dibuat Muhyiddin.

“Saya hanya membuat kenyataan (isu Spanco) apabila ditanya (media) sama ada beliau akan dipanggil. Saya menyatakan tidak menafikan, mahu pun tidak menolak (panggil Muhyiddin beri keterangan). Namun, ia bergantung kepada pegawai penyiasat SPRM.

“Jadi, saya sebenarnya tidak lagi mengatakan serta tidak membuat membuat sebarang andaian (mengaitkan Muhyiddin dalam isu Spanco). Itu satu perkara biasalah bila kita membuat kenyataan tentang kemungkinan-kemungkinan yang akan berlaku (dalam siasatan SPRM),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Pejabat SPRM Cawangan Mersing, di sini, hari ini.

Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) menafikan dakwaan beliau terbabit dalam salah laku berhubung pemberian kontrak pembekalan dan penyelenggaraan kenderaan kerajaan kepada Spanco.

Beliau dilaporkan berkata, sehingga kini tohmahan jahat itu berlegar di media massa dan media sosial tanpa butiran lengkap bagaimana beliau terbabit dalam perkara terbabit dan salah laku berkenaan.

Azam sebelum ini berkata, SPRM akan memanggil Muhyiddin memberi keterangan, jika ada keperluan berbuat demikian bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan.

“Oleh sebab itu, saya katakan kalau ada keperluan, saya serahkan kepada pegawai penyiasat untuk memanggil sesiapa jua, termasuk Muhyiddin,” katanya.

Azam pada Khamis lalu memaklumkan beberapa saksi sudah dipanggil memberi keterangan termasuk bekas Menteri Kewangan yang terbabit dalam pemberian kontrak SPANCO.

Beliau juga menyatakan tidak akan menolak memanggil sesiapa sahaja yang terbabit dalam kuasa meluluskan projek berkenaan.

Terdahulu, dalam ucapannya beliau menyatakan kerjasama semua pihak amat diperlukan bagi melaksanakan integriti dan tatakelola baik sekaligus menjadi satu budaya dalam membanteras gejala rasuah di negara ini.

Beliau berkata, Mersing merupakan tempat tumpuan pelancong dan pembukaan cawangan ini adalah satu langkah tepat bagi memperluaskan perkhidmatan Suruhanjaya ini kepada masyarakat setempat.

“Ini secara tidak langsung dapat meningkatkan imej daerah Mersing seterusnya dapat meningkatkan ekonomi penduduk.

“Diharapkan penduduk di daerah ini mengambil peluang dengan kewujudan pejabat ini dan dimanfaatkan bersama-sama dalam usaha untuk menjadikan negara ini bebas rasuah,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Johor,  Azmi Alias, berkata pejabat SPRM Cawangan Mersing telah memulakan operasinya pada 1 Januari 2024 dengan kekuatan seramai tiga pegawai dan seorang kakitangan gunasama.

Nnn

Related posts

Leave a Comment