Keadaan di Gaza “semakin bahaya”

GENEVA : Program Makanan Sedunia (WFP) memberi amaran bahawa keadaan di Gaza kini “semakin bahaya” dan menggesa akses segera dan selamat untuk memastikan bantuan dapat disalurkan kepada ratusan ribu rakyat Palestin.

Dalam satu kenyataan, agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu berkata, ketika penduduk di ambang kebuluran, pihaknya terpaksa menghentikan penghantaran bantuan ke utara Gaza sehingga keadaan selamat.

“Keputusan untuk menangguhkan penghantaran ke utara Semenanjung Gaza itu satu yang sangat sukar kerana kami tahu ia akan memburukkan lagi keadaan di sana dan lebih ramai berisiko mati kelaparan,” kata WFP.

Agensi itu komited untuk segera memberi bantuan kepada penduduk yang terdesak di seluruh wilayah yang dilanda perang itu, namun aspek keselamatan perlu diambil kira selain memastikan keselamatan penerima bantuan juga terjamin.

WFP berkata, penghantaran bantuan ke utara Gaza telah disambung semula pada Ahad (18 Februari) selepas ditangguhkan selama tiga minggu berikutan serangan ke atas trak agensi bantuan Palestin PBB.

Namun pada Isnin, konvoi pertama dan kedua berdepan insiden yang tidak diingini apabila barangan bantuan kemanusiaan dirompak.

Agensi itu berkata, pihaknya akan berusaha sedaya upaya untuk memulakan semula penghantaran secepat mungkin, sambil menekankan bahawa keperluan yang paling mendesak ialah untuk memastikan lebih banyak bahan makanan dapat masuk ke Gaza dari pelbagai laluan dan keperluan untuk membuka lintasan di utara Gaza.

Sistem makluman yang berfungsi dan rangkaian komunikasi yang stabil juga diperlukan selain memudahkan keselamatan untuk kakitangan dan rakan kongsi kami serta penduduk tempatan.

Sementara itu, Agensi Kerja dan Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) mendakwa Israel telah menafikan akses kepada lebih separuh daripada misi yang dirancang termasuk bersama rakan kemanusiaannya.

Menerusi hantaran di platform X, UNRWA berkata, sejak awal tahun 2024, 51 peratus daripada misi yang dirancang oleh agensi itu dan rakan kemanusiaannya dalam menyampaikan bantuan dan menjalankan penilaian ke kawasan di utara Gaza pada tahun ini telah dinafikan akses oleh pihak berkuasa Israel, lapor Agensi Anadolu.

“Keterjaminan makanan di utara Gaza telah mencapai keadaan yang sangat kritikal,” kata UNRWA.

Related posts

Leave a Comment