PARTI Keadilan Rakyat (PKR) kekal dengan pendirian bahawa mandat rakyat mesti dipulangkan ke tempatnya pada kadar segera, dan dalam bentuk yang telah diberi oleh rakyat kepada Pakatan Harapan (PH) pada Pilihanraya Umum ke-14 termasuk dalam isu peralihan kuasa dari Dr Mahathir Mohamad kepada Anwar Ibrahim.
Pada masa yang sama Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR dalam mesyuarat bulanan hari ini menegaskan PKR dan PH akan berusaha bersungguh-sungguh untuk bersiap sedia dalam menghadapi sebarang kemungkinan termasuk berlakunya Pilihan raya Umum ke-15 lebih awal dari 2023.
Dalam kenyataan yang dipetik dari FB PKR, Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail berkata, dalam isu jawatan Perdana Menteri, walaupun PKR
telah menyatakan pendirian sebelum ini, parti itu sedia untuk berbincang namun sebarang keputusan di peringkat PH perlu diputuskan oleh Majlis Presiden PH.
“Sebarang cadangan baharu tidak harus dijadikan mainan politik peribadi mana-mana tokoh,” katanya.
PKR juga mengingatkan agar semua pihak sentiasa berwaspada dan jangan terperangkap dengan sebarang usaha atau langkah yang direncana untuk melagakan parti-parti di dalam PH, seperti yang pernah dilakukan terhadap PKR sebelum ini.