Bertenang, Mahkamah Syariah tidak terjejas

PUTRAJAYA 9 Feb. – Semua pihak diminta bertenang dan tidak melakukan provokasi susulan Mahkamah Persekutuan memutuskan 16 peruntukan kesalahan di bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 adalah batal dan tidak sah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, keputusan majoriti 8-1 dalam kes Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid hari ini tidak menjejaskan kedudukan Mahkamah Syariah di Malaysia.

“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) memberi jaminan kepada umat Islam bahawa Mahkamah Syariah akan kekal dan terus terjamin kewujudannya selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Keputusan bersejarah itu disampaikan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat yang mengetuai panel sembilan anggota selepas membenarkan permohonan Nik Elin dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Abdul Rahman bagi mencabar isu perlembagaan untuk membatalkan 18 peruntukan kesalahan di bawah enakmen tersebut.

Susulan itu juga, semua pihak berkepentingan dan yang terbabit dengan Mahkamah Syariah akan segera dipanggil bagi membincang serta menilai langkah pemerkasaan mahkamah itu.

Bekas Ketua Hakim Syarie itu, turut memberi jaminan sekiranya terdapat keperluan pindaan atau reformasi undang-undang berkaitan Mahkamah Syariah, ia akan segera dilakukan

Mohd Na’im berkata, sebagai tindakan segera juga, beliau sudah mengarahkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) untuk mendapatkan alasan penghakiman bertulis kes itu bagi tujuan kajian serta perancangan selanjutnya.

“Justeru, selaras dengan kajian atas alasan penghakiman kes ini yang akan segera dijalankan, perancangan lanjut akan dibuat segera bagi memastikan agenda penambahbaikan dan pemerkasaan Mahkamah Syariah akan terus berjalan di Malaysia.

“Beberapa penyesuaian terhadap pelan dan rancangan sedia ada juga akan dilaksanakan selaras dengan keputusan kes ini,” katanya.

Beliau berkata, segala ruang dan peluang yang wujud untuk pemerkasaan Mahkamah Syariah akan dilaksana.

Mohd Na’im berkata, Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri untuk Menggubal Undang-Undang Islam akan mengkaji isu berkaitan dan bidang kuasa Mahkamah Syariah sebagaimana yang diperuntuk di bawah butiran 1, Senarai II-Senarai Negeri, Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

“Hasil kajian, pandangan dan syor yang dicadangkan oleh Jawatankuasa Khas ini akan dibentangkan dalam Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia serta Majlis Raja-Raja,” katanya.

Beliau juga akan segera memohon perkenan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Shah serta Sultan Selangor selaku Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Raja-Raja Melayu untuk menyembah maklum keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes itu hari ini.

Related posts

Leave a Comment