140 anggota terlibat Op Selamat 21

KUALA LUMPUR 8 Feb. – Seramai 140 anggota dan pegawai polis trafik akan ditugaskan dalam Op Selamat 21 sempena Tahun Baharu Cina termasuk di kawasan yang dikenal pasti sebagai ‘hotspot’ dan ‘blackspot’.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Allaudeen Abdul Majid, berkata polis Kuala Lumpur mengenal pasti 50 ‘hotspot’ (aliran trafik tinggi) dan 11 ‘blackspot’ (kawasan sering berlaku kemalangan) di ibu kota.

Antara kawasan ‘hotspot’ yang dikenal pasti adalah di Jalan Tun Razak/susur dari Bulatan Pahang, Jalan Cheras/Jalan Ikan Ayu, Jalan Kampung Kerinchi/Bangsar South dan Jalan Sultan Ismail/Jalan Bukit Bintang.

Manakala antara okasi ‘blackspot’ adalah di Jalan Loke Yew, Jalan Ipoh, Jalan Cheras dan Jalan Kuching.

Bercakap pada sidang media hari ini, Allaudeen menasihatkan orang ramai mengikut jadual perjalanan yang dikeluarkan oleh syarikat konsesi lebuh raya.

“Orang ramai juga perlu mendapatkan rehat yang secukupnya dan memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik sebelum memulakan perjalanan.

Masyarakat juga dinasihatkan jangan menjadikan hari perayaan sebagai hari malapetaka, tidak ada apa yang perlu dikejar, pastikan perjalanan anda ke destinasi selamat,” katanya.

Beliau berkata, pengguna jalan raya dinasihatkan mengamalkan pemanduan berhemah semasa perjalanan pulang ke kampung.

“Selain itu, pastikan kediaman dikunci dan diyakini selamat untuk ditinggalkan sebelum pulang ke kampung dan memberi makluman kepada balai berhampiran atau melalui aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) yang sudah dinaik taraf,” katanya.

Related posts

Leave a Comment