KM Pulau Pinang perbetul angka Guan Eng

TANJONG 5 Feb. – Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, menjelaskan kos penuh sebanyak RM247 juta bagi projek Gurney Bay termasuk Fasa Pertama dan Dua hanya akan dibelanjakan apabila semua komponen projek siap menjelang 2026.

Beliau yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi, Tanah dan Komunikasi memaklumkan, kerajaan negeri hanya membayar sebanyak RM58 juta untuk kerja-kerja yang telah disiapkan di taman rekreasi berkenaan setakat 31 Disember lalu.

“Merujuk kenyataan dikeluarkan menerusi laman Facebook Yang Berhormat Lim Guan Eng hari ini, kerajaan negeri Pulau Pinang dengan ini ingin menegaskan bahawa terdapat kesilapan berhubung angka yang dinyatakan.

“Fasa Pertama Gurney Bay tidak membabitkan kos RM247 juta sebagaimana didakwa. RM247 juta merupakan kos penuh bagi projek Gurney Bay termasuk Fasa Pertama dan Dua,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Guan Eng yang juga bekas ketua menteri menerusi Facebook mempersoalkan kualiti kerja Fasa Pertama Taman Gurney Bay yang dilapor ada keretakan struktur konkrit, meskipun projek berkenaan baru dibuka semalam.

“Bukan sahaja tali pada alat permainan yang dilaporkan rosak, namun struktur konkrit juga dilaporkan retak semasa pembukaan Fasa 1 Taman Gurvey Bay yang baharu dibuka kepada orang awam.

Mujurlah pihak terbabit bertindak selepas aduan disampaikan, namun ia tidak dapat mengelakkan persoalan mengenai kualiti kerja,” tulis Ahli Parlimen Bagan itu.

Katanya, Fasa 1 projek Taman Gurney Bay ini melibatkan kos RM 247 juta penuh dengan reka bentuk dinding konkrit menimbulkan keraguan dan tanda tanya mengenai perancangan asal, reka bentuk, pemantauan hasil dan juga kualiti kerja.

“Nilai RM247 juta yang dibelanjakan sepatutnya membawa kepada sebuah taman rekrekasi yang bertaraf antarabangsa,” katanya yang turut berkongsi dua keping gambar menunjukkan tali pada alat permainan kanak-kanak di taman berkenaan rosak.

Mengenai kerosakan di tapak, Kon Yeow menjelaskan pihak kontraktor adalah bertanggungjawab selama dua tahun atas syarat Damage Liability Period.

Related posts

Leave a Comment