Ekonomi meruncing, kerajaan acuh tak acuh – Muhyiddin

KUALA LUMPUR 1 Feb. –  Kedudukan ekonomi negara dikhuatiri semakin meruncing jika tiada penyelesaian segera dan menyeluruh dibuat bagi mengatasi kemerosotan Indeks Harga Pengeluar Malaysia (IHPR) yang merekodkan aliran negatif 1.3 peratus pada Disember 2023, berbanding negatif 1.5 peratus pada November tahun sama.

Pengerusi Perikatan Nasional, Muhyiddin Yassin, berkata, situasi itu ada kaitan dengan kemerosotan pendapatan eksport dan kenaikan kos import, dipengaruhi sebahagian besar oleh ketidaktentuan pasaran luar.

Malah, katanya, IHPR masih berada dalam lingkungan ‘wilayah negatif’, biarpun berlaku sedikit kenaikan, sekali gus memberi kesan kepada pengilang domestik yang terpaksa mengurangkan pengeluaran produk masing-masing.

Bekas Perdana Menteri itu bagaimanapun berkata, selepas lebih setahun kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim seperti acuh tak acuh, tanpa tindakan konkrit dalam menangani apa yang sedang berlaku bagi meredakan keresahan rakyat.

“Aliran negatif IHPR ini adalah antara bukti keadaan ekonomi negara semakin meruncing dan tidak sihat. Jika kerajaan berterusan dengan cara kepimpinan dan pentadbiran ekonomi sebegini, saya khuatir Malaysia akan terjerumus dalam kancah ekonomi lebih buruk,” katanya.

Dalam satu kenyataan hari ini, Presiden Bersatu itu juga melihat situasi berkenaan menjejaskan pengguna dan peniaga yang ketika ini sudah dihimpit dan dibebani pelbagai kenaikan kos sara hidup.

“Golongan peniaga pula masih belum benar-benar dapat keluar daripada fasa pemulihan perniagaan.

Sepatutnya pada fasa ini, kerajaan perlu mengambil langkah segera dan tindakan luar biasa bagi menangani kemelut sedang dihadapi untuk memulihkan perniagaan mereka.

Namun, ini tidak berlaku malah lebih banyak masalah timbul ekoran kejatuhan ringgit, penurunan eksport, kenaikan harga bahan import dan kelemahan kuasa membeli pengguna domestik,” katanya.

Muhyiddin juga menjangkakan, aliran negatif IHPR menyebabkan pengeluar mengehadkan input pengeluaran seperti tempoh masa kerja, bahan mentah dan seluruh rantaian kilang.

Selain itu, katanya, ia menambahkan beban hidup rakyat daripada aspek tabungan dan pengurangan simpanan individu kerana sumber pendapatan terjejas.

Beliau mengingatkan jika aliran negatif IHPR berterusan disebabkan permintaan menurun, pengeluar mungkin mengambil tindakan mengurangkan jumlah pekerja dan memberi kesan besar kepada ekonomi negara.

Katanya , masalah pengangguran dan kehilangan punca pendapatan individu akan mengusutkan lagi isu kos sara hidup yang sedang ditanggung rakyat ketika ini.

“Saya khuatir dalam keadaan pengguna sudah terbeban dengan segala bentuk kenaikan harga bahan makanan dan barangan keperluan, tarif elektrik, beberapa jenis cukai perkhidmatan, tambang bas sekolah serta ubat-ubatan sejak lebih setahun lalu, realiti ini akan memburukkan lagi keadaan ekonomi negara,” katanya.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment