ALOR SETAR 31 Jan. – Jika tahun lalu, Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor, diperintah membayar ganti rugi sebanyak RM120,000 kepada bekas Ahli Parlimen Pokok Sena, Mahfuz Omar, berhubung satu saman fitnah, hari ini giliran Mahfuz pula diperintah membayar ganti rugi kepada Sanusi sebanyak RM250,000.
Mahkamah Tinggi di sini, memerintahkan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah itu membayar ganti rugi berjumlah RM250,000 kepada Muhammad Sanusi berhubung kenyataan fitnah yang dibuat pada 2020.
Hakim Dr Arik Sanusi Yeop Johari membuat keputusan itu selepas membenarkan saman fitnah dikemukakan Muhammad Sanusi selaku plaintif terhadap Mahfuz sebagai defendan.
Mahkamah mendapati Mahfuz melakukan fitnah dan mengeluarkan kenyataan tidak benar berhubung pembelian kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire yang dibuat Syarikat Air Darul Aman (SADA) yang dikatakan adalah untuk kegunaan Menteri Besar.
Mahkamah memerintahkan Mahfuz membayar ganti rugi am RM200,000 dan ganti rugi tauladan RM50,000 selain defendan perlu menanggung kos guaman berjumlah RM30,000 yang semuanya perlu diselesaikan dalam tempoh 14 hari.
Hakim Dr Arik Sanusi Yeop Johari membuat keputusan itu selepas membenarkan saman fitnah dikemukakan Muhammad Sanusi selaku plaintif terhadap Mahfuz sebagai defendan.
Mahkamah mendapati Mahfuz melakukan fitnah dan mengeluarkan kenyataan tidak benar berhubung pembelian kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire yang dibuat Syarikat Air Darul Aman (SADA) yang dikatakan adalah untuk kegunaan Menteri Besar.
Mahkamah memerintahkan Mahfuz membayar ganti rugi am RM200,000 dan ganti rugi tauladan RM50,000 selain defendan perlu menanggung kos guaman berjumlah RM30,000 yang semuanya perlu diselesaikan dalam tempoh 14 hari.
Defendan turut diperintahkan membuat permintaan maaf secara terbuka di akhbar bahasa Melayu dan Inggeris selain turut membuat perkara sama di laman sosial Facebook milik Mahfuz mengikut yang ditetapkan Sanusi dalam tempoh 14 hari.
Mahkamah turut mengekalkan injuksi dipohon Sanusi bagi menghalang Mahfuz, ejen dan penyokongnya mengulangi kenyataan fitnah berkenaan termasuk tidak mengulang siar kenyataan yang dibuatnya sebelum ini.
Dalam penghakimannya, Arik berkata tuduhan Mahfuz bahawa Muhammad Sanusi mengarahkan SADA membeli Toyota Vellfire bagi kegunaan peribadi Ahli Dewan Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu sebagai fitnah dan berniat jahat.
“Mahkamah mendapati kenyataan yang dikeluarkan defendan terhadap plaintif melalui Facebook bahawa kenderaan Vellfire yang menggunakan dana SADA adalah untuk kegunaan dan kepentingan peribadi plaintif adalah bersifat fitnah dan dibuat dengan niat jahat terhadap plaintif.
“Defendan sendiri mengakui dalam keterangannya bahawa kenyataan yang dikeluarkan beliau itu adalah berdasarkan satu dokumen kertas kerja yang beliau sendiri telah gagal mengesahkan sumber dan ketulenan sumber tersebut.
“Plaintif berjaya membuktikan terdapat kenyataan media pihak SADA dan saksi plaintif mengesahkan bahawa kenderaan Toyota Vellfire dibeli untuk pengurusan tertinggi SADA dan orang-orang yang diberi kebenaran SADA dan bukan untuk kegunaan Menteri Besar Kedah,” katanya.
Dalam prosiding berkenaan Muhammad Sanusi diwakili barisan peguam diketuai Yusfarizal Yussoff, Wan Rohimi Wan Daud, Mohd Faizi Che Abu dan Adam Luqman Amdan, manakala Muhammad Faiz Fadzil dan Faizal Abdullah mewakili Mahfuz.
Pada Oktober 2020, Muhammad Sanusi dilaporkan memfailkan saman fitnah ke atas beberapa pemimpin pembangkang yang mendakwa pembelian MPV Toyota Vellfire milik SADA itu adalah bagi kegunaannya.
Antara pemimpin berkenaan adalah Mahfuz yang juga bekas Ahli Parlimen Pokok Sena; bekas ADUN Pengkalan Kundor, Dr Ismail Salleh dan dua individu lain.
Muhammad Sanusi menjelaskan, pembelian kenderaan terbabit dibuat Jawatankuasa Perolehan Aset SADA secara dalaman dan dilakukan mengikut had perbelanjaan ditetapkan.
Sementara itu, Muhammad Faiz ketika ditemui selepas prosiding berkata, pihaknya akan mengemukakan rayuan secepat mungkin bagi penangguhan hukuman sementara defendan memfailkan rayuan berkenaan.
Terdahulu pada tahun lalu, Muhammad Sanusi diarah, membayar jumlah ganti rugi sebanyak RM120,000 kepada Mahfuz berhubung saman fitnah.
Mahfuz memfailkan saman itu berdasarkan hantaran dibuat Muhammad Sanusi dalam akaun Facebooknya pada 30 Julai 2019, yang mengaitkan Mahfuz selaku wakil rakyat bagi kawasan Pokok Sena dalam isu pemindahan Sport Toto ke kawasan itu.
Mahfuz juga mendakwa Muhammad Sanusi menerbitkan satu video berdurasi 7 minit 57 saat di akaun Facebooknya pada 27 Julai 2019, memaparkan sekumpulan individu membantah pembukaan cawangan Sport Toto di Pokok Sena sambil memegang sepanduk yang tertera nama plaintif.
Yusfarizal berkata, beliau akan berbincang dengan anak guamnya sama ada akan memfailkan permohonan kebenaran untuk merayu di Mahkamah Persekutuan.
