JOHOR BAHRU 11 Jan. – Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dan rakan sejawatannya dari Singapura, Lee Hsien Loong hari ini menyaksikan detik bersejarah Projek Rapid Transit System Link (RTS Link) “disambungkan” antara Malaysia dan Singapura.
Penyambungan itu melibatkan penyempurnaan span, iaitu titik pertemuan jejambat marin projek tersebut antara Johor Bahru dan Singapura.
Anwar dan Hsien Loong turut menandatangani plak yang secara simboliknya menunjukkan komitmen kedua-dua negara terhadap pembinaan projek tersebut yang mencapai tahap kemajuan 65 peratus setakat 31 Disember lalu.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dan Pemangku Menteri Pengangkutan Singapura, Chee Hong Tat serta Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi.
Projek RTS Link adalah rangkaian kereta api ulang-alik sepanjang kira-kira empat kilometer dengan dua stesen masing-masing di Bukit Chagar di sini dan di Woodlands North, Singapura.
Dengan kapasiti sehingga 10,000 penumpang setiap jam bagi setiap arah dan masa perjalanan kira-kira lima minit antara kedua-dua stesen, laluan RTS yang dijadualkan siap pada Disember 2026 itu akan menyediakan perjalanan mudah dan selesa antara Singapura dan Johor Bahru.
