J-Kom perlu penjenamaan semula sepenuhnya

SEPANG 3 Jan. –  Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) di bawah Kementerian Komunikasi wajar dirombak secara menyeluruh selepas agensi itu mendakwa wujud ‘Langkah Dubai’, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO,  Dr Puad Zarkashi.

Beliau menyifatkan analisis Timbalan Ketua Pengarah J-Kom, Ismail Yusop berhubung ‘Langkah Dubai’ itu ‘cetek’ menyebabkan kerajaan dalam keadaan defensif apabila beberapa nama dalam kerajaan disebut terbabit dalam gerakan itu.

“Apa keperluan timbalan KP J-Kom mainkan isu Langkah Dubai? Kata Premier Sarawak, cerita Langkah Dubai adalah cerita “Paloi” (bodoh).

Lebih sesuai J-Kom fokus naratif “kerajaan tebuk atap” musibah dan tidak akan tercapai. Ahmad Maslan kata “fatamorgana” (khayalan),” kata Speaker Dewan Undangan Negeri Johor itu melalui Facebooknya.

Menurut Puas, imej J-Kom makin merudum selepas ‘isu “A & W”, iaitu kontroversi melibatkan bekas ketua pengarahnya, Agus Yusoff dan pembantu beliau, Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani.

“Maka, amat wajar J-Kom dirombak secara menyeluruh, ‘rebranding total’ (penjenamaan semula sepenuhnya) dan dipimpin oleh mereka yang lebih kompeten,” katanya.

Sebelum ini, Ismail dilaporkan mendakwa gerakan menumbangkan kerajaan perpaduan pimpinan  Anwar Ibrahim di Dubai turut membabitkan tokoh politik veteran berpengaruh bergelar Tun menggunakan dana asing.

Pertemuan itu didakwa bertujuan membahagikan tugas kepada ‘ejen’ untuk mengenal pasti Ahli Parlimen yang boleh menukar sokongan kepada pembangkang bagi membentuk kerajaan baharu.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Dr Zahid Hamidi dilaporkan berkata, beliau tahu mengenai ‘Langkah Dubai’ sebelum individu terbabit mendarat di bandar raya itu, tetapi enggan mendedahkan nama individu berkenaan.

Kelmarin juga, bekas Perdana Menteri,  Ismail Sabri Yaakob dan Ahli Parlimen Lipis, Abdul Rahman Mohamad yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia menafikan terbabit dalam gerakan itu.

Pada masa yang sama, Premier Sarawak,  Abang Johari Abang Openg ketika mengulas dakwaan Langkah Dubai itu berkata: “Kita bukan paloi (bodoh).”

Abang Johari turut hairan kerana dikaitkan dengan gerakan sulit itu apabila namanya secara tidak langsung disebut kononnya sebagai bakal perdana menteri.

Menurutnya, Gabungan Parti Sarawak (GPS) pimpinannya hanya mempunyai 23 kerusi di Parlimen dan beliau tidak berminat untuk menerima jawatan Perdana Menteri hanya kerana mahu menyertai pakatan bagi menjatuhkan kerajaan sedia ada.

“Apa hal pula nama saya turut dimasuk dalam Langkah Dubai itu (kononnya) nak jadi Perdana Menteri…adakah patut? Saya memang terkejut apabila mereka sebut itu.

Kita (GPS) sukat baju di badan sendiri, kalau sukatan seperti sekarang kita ikut sukatan itulah kerana GPS hanya ada 23 kerusi (Parlimen), (kita tidak mahu) nanti apabila kita naik (jadi Perdana Menteri) mereka tekan kita pula, sebab itu saya kata, kita bukan paloi,” katanya.

Related posts

Leave a Comment