Tiada asas kukuh McD saman BDS

KUALA LUMPUR 31 Dis. –  Tidak ada asas kukuh untuk McDonald’s Malaysia memfailkan saman terhadap boikot yang dilancarkan oleh kumpulan Boycott, Divestment, Sanctions (BDS) Malaysia.

Pengerusi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu, Profesor Dr Mohd Nazari Ismail, berkatam BDS tidak secara langsung berkempen menentang syarikat makanan segera itu, sebaliknya hanya menyokong boikot yang dimulakan oleh rakyat Malaysia

“Jika anda lihat laman web BDS Malaysia, kami tidak berkempen untuk boikot ini. Rakyat Malaysia yang memboikotnya,” katanya kepada pemberita di protes enam hari Kepung Demi Palestin yang diadakan di sini, hari ini.

Beliau berkata, gerakan memboikot rantaian makanan segera itu semakin kukuh selepas McDonald’s didakwa menaja makanan tentera Israel, baru-baru ini.

Mohd Nazari berkata, BDS akan mengkaji untuk mengadakan kempen mengumpul dana untuk menanggung kos perundangan yang berkaitan dengan saman itu.

Jumaat lalu, BDS Malaysia berkata, ia telah disaman oleh McDonald’s Malaysia kerana didakwa memfitnah syarikat itu.

BDS Malaysia, dalam satu kenyataan yang dikongsi di X, berkata mereka telah menerima writ saman daripada McDonald’s Malaysia, yang mendakwa perniagaan mereka terjejas dan menyalahkan NGO berkenaan.

Gerbang Alaf Restaurants Sdn Bhd, (GAR) pemegang lesen McDonald’s di Malaysia, telah menuntut BDS Malaysia untuk mengeluarkan permohonan maaf atas dakwaan kenyataan berunsur fitnah.

Nnn

Related posts

Leave a Comment