Banjir KL : RM29.13 juta baiki kerosakan

KUALA LUMPUR 8 Mac – Kerajaan telah memperuntukkan RM29.13 juta bagi melaksanakan kerja-kerja pembaikan infrastruktur awam yang rosak akibat bencana yang melanda Lembah Klang, kata Menteri Kanan Kerja Raya, Fadillah Yusof.

Beliau berkata pembaikan ini membabitkan kerja-kerja penyenggaraan berkala pavemen dan berkala bukan pavemen, penyenggaraan jambatan serta penyenggaraan lampu jalan dan lampu isyarat yang rosak akibat banjir.

Kelulusan peruntukan RM 29.13 juta itu membabitkan 50 kerja penyenggaraan dan sebanyak lima kerja sudah disiapkan iaitu empat kerja penyenggaraan berkala pavemen dan satu kerja penyenggaraan jambatan.

Sementara, baki 45 bilangan kerja penyenggaraan akibat banjir di kawasan Lembah Klang di dalam proses pembinaan dan dijangka disiapkan sepenuhnya pada Julai depan.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada Mohamad Sabu (PH-Kota Raja) di Dewan Rakyat.

Beliau berkata, kementeriannya bertanggungjawab untuk melaksanakan pembaikan infrastruktur awam yang berlaku di jalan persekutuan saja, manakala kerosakan infrastruktur di jalan negeri, di bawah bidang kuasa kerajaan negeri dan peruntukan pembaikan adalah di bawah Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS).

Disember lalu, hujan lebat yang berlarutan selama dua hari mengakibatkan kawasan-kawasan di sekitar Lembah Klang dilanda banjir dengan Selangor menerima kesan terburuk selepas lebih 20,000 mangsa dipindahkan ke 110 pusat pemindahan sementara (PPS).

Related posts

Leave a Comment