Dr Mahathir sokong larangan terhadap kapal Israel

PUTRAJAYA  20 Dis. –  Dr Mahathir Mohamad menyatakan sokongan kepada ketetapan kerajaan yang tidak membenarkan syarikat perkapalan berpangkalan di Israel, ZIM, berlabuh di pelabuhan Malaysia.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, sebarang tindakan protes yang boleh dilakukan kerajaan harus diambil disebabkan tindakan melampau dan tiada perikemanusiaan Israel terhadap penduduk Palestin.

Katanya, pada 2002, kerajaan membenarkan ZIM berlabuh kerana Malaysia ketika itu masih menaruh harapan kepada usaha damai antara Palestin dan Israel.

“Kerajaan ketika itu juga pernah membenar pasukan kriket Israel dengan harapan rakyatnya dapat melihat bahawa penduduk Malaysia yang majoriti beragama Islam, boleh hidup bersama rakyat beragama lain.

Malangnya segala usaha itu jelas sia-sia kerana Israel selepas itu terus memperlihat sifat kebinatangannya dan terus membunuh rakyat Palestin,” katanya melalui platform media sosial hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan, syarikat perkapalan berpangkalan di Israel, menggunakan bendera negara itu atau kapal dalam perjalanan menuju ke sana, dilarang berlabuh atau memuatkan kargo di mana-mana pelabuhan Malaysia, berkuat kuasa serta-merta.

Anwar berkata, sekatan itu sebagai tindak balas terhadap tindakan Israel yang mengetepikan prinsip asas kemanusiaan dan melanggar undang-undang antarabangsa menerusi pembantaian serta kekejaman berterusan ke atas rakyat Palestin.

Lembaga Pelabuhan Klang hari ini juga diarah membantu semua pihak terjejas susulan ketetapan kerajaan tidak membenarkan syarikat perkapalan berpangkalan di Israel, ZIM berlabuh di pelabuhan Malaysia.

PIa membabitkan syarikat logistik, pengimport, pengeksport dan perkapalan dalam menguruskan kargo masing-masing yang terkesan akibat keputusan terbabit.

Related posts

Leave a Comment