Jawatan ada kelebihan tetapi bukan tiket sokongan

KAJANG 17 Dis. – Naib Presiden Amanah, Dr Mujahid Yusof, mengakui jawatan dalam kerajaan atau sebagai anggota Kabinet ada kelebihan tetapi penilaian teras adalah sama ada orang ini boleh membawa parti ke hadapan.

Katanya, jawatan dalam Kabinet juga bukan tiket untuk mana-mana calon pemilihan Amanah mendapat lebih sokongan, termasuk bagi lima jawatan tertinggi.

Dr Mujahid yang juga anggota Dewan Negara adalah antara 124 calon bagi merebut 27 tempat dalam Jawatankuasa Pimpinan Nasional Amanah bagi sesi 2023-2026 pada pemilihan minggu depan.

Beliau juga yakin perwakilan akan memilih pemimpin yang dilihat lebih memberi sumbangan kepada parti, tidak semestinya mereka yang ada jawatan dalam kerajaan.

“Jawatan dalam Kabinet bukan tiket untuk mana-mana calon mendapat lebih sokongan. Orang akan lihat siapa yang lebih beri sumbangan kepada parti dan tidak semestinya dia ada jawatan dalam kerajaan. Kita konsisten dalam perkara itu.

Jika ada jawatan, itu kelebihan kepadanya, tapi penilaian teras adalah sama ada orang ini boleh membawa parti ke hadapan,” katanya selepas merasmikan Konvensyen Amanah Selangor 2023 di sini, hari ini.

Pemilihan kali ini akan turut disertai Presiden Amanah merangkap Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu; Naib Presiden, Adly Zahari yang juga Timbalan Menteri Pertahanan dan Pengarah Strategi merangkap Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad.

Bagaimanapun mengikut perlembagaan parti, kedudukan lima jawatan tertinggi termasuk presiden ditentukan secara konsensus oleh 27 pimpinan tertinggi yang akan dipilih perwakilan.

Perlembagaan juga menetapkan seseorang hanya boleh menjadi presiden selama tiga penggal berturut-turut dan ini penggal terakhir bagi Mohamad Sabu jika beliau terpilih sekali lagi menerajui Amanah.

Mujahid yang sebelum ini turut menyatakan kesediaannya memikul tangggungjawab lebih besar dalam parti jika memperoleh sokongan tertinggi, berkata beliau tidak mempunyai sebarang strategi untuk meraih undi dan menyifatkan persaingan kali ini sengit dalam suasana yang demokrasi.

Katanya, perwakilan lebih matang untuk memilih siapa yang layak.

Related posts

Leave a Comment