GAZA: Seorang wartawan Al Jazeera dilaporkan maut dalam serangan Israel di Khan Younis, Gaza manakala rakan sekerjanya cedera ketika sedang membuat laporan di sekolah Farhana di Khan Younis sebelum diserang Israel pada Jumaat.
Menurut jurucakap rangkaian media itu, jurukamera Arab Al Jazeera Samer Abudaqa terbunuh dan rakannya Wael Dahdouh cedera.
“Pihak penyelamat baru sahaja berjaya mendapatkan mayat jurukamera Samer Abudaqa, manakala wartawan yang cedera, terkena serpihan di lengan berjaya dibawa ke hospital Nasser untuk mendapatkan rawatan,” katanya.
Sejak perang 7 Oktober lalu, sekurang-kurangnya 66 wartawan kebanyakannya Palestin terbunuh di samping tiga wartawan Lebanon dan empat Israel.
Dahdouh dilaporkan berkata,ketika serangan, kru media sedang mengiringi penyelamat pertahanan awam dalam misi untuk memindahkan sebuah keluarga selepas rumahnya dibom.
“Kami berjaya merakam kemusnahan yang dahsyat di tempat yang tidak boleh dicapai oleh mana-mana media sejak operasi darat Israel dimulakan,” kata Dahdouh dari katil hospitalnya.
Bagaimanapun ketika mereka mula berjalan keluar dari kawasan itu, sebiji bom Israel jatuh ke tanah mengenai mereka.
Selepas letupan itu, Dahdouh yang cedera menekan luka ditangannya terus berjalan keluar dari kawasan itu untuk mendapatkan bantuan.
Bagaimanapun ambulans yang tiba tidak boleh mengakses lokasi serangan kerana terlalu berbahaya. Usaha seterusnya untuk menyelaraskan laluan selamat untuk menyelamatkan Abudaqa ditangguhkan, dan ambulans yang tiba juga diserang.
Ramai rakyat Palestin dari bahagian tengah dan utara Gaza telah mencari perlindungan di Khan Younis sejak perang bermula pada Oktober.
Kini, ramai yang telah ditolak lebih jauh ke arah bandar paling selatan di jalur Rafah selepas Israel mempergiatkan operasi ketenteraannya di Khan Younis.
