Israel tertembak tiga tebusan Hamas

GAZA: Tentera Israel menembak mati tiga tebusan yang ditahan Hamas di Gaza setelah secara “tidak sengaja” mengenal pasti mereka sebagai ancaman, demikian menurut para pegawai tentera Israel.

Tebusan tersebut terbunuh semasa pertempuran dengan Hamas di Gaza dan Israel menzahirkan ucapan takziah dan kesal kepada anggota keluarga mangsa sambil berkata siasatan “telus sepenuhnya” akan dijalankan ke atas insiden itu.

“Semasa pertempuran di Shujayea, (tentera Israel) tidak sengaja mengenal pasti tiga tebusan warga Israel sebagai ancaman. Disebabkan itu, pasukan tentera menembak mereka dan mereka terbunuh.

“(Tentera Israel) mula menyemak insiden itu segera. Kami sudah segera mengambil iktibar daripada insiden itu, yang sudah disampaikan kepada semua (tentera Israel) di lapangan,” kata tentera dalam satu kenyataan.

Tebusan itu dikenal pasti sebagai tiga lelaki muda yang diculik dari Israel semasa Hamas melancarkan serangan pada 7 Oktober – iaitu Yotam Haim 28 tahun, Samer Al-Talalka 25 tahun dan Alon Shamriz 26 tahun, menurut Al Jazeera.

Jurucakap ketua tentera Israel, Daniel Hagari, berkata pasukan Israel menjumpai para tebusan tersebut dan secara tidak sengaja mengenal pasti mereka sebagai ancaman.

Dipercayai semua tiga tebusan itu sama ada melarikan diri daripada penculik mereka atau diabaikan.

Kira-kira 250 tebusan dibawa masuk ke Gaza oleh Hamas semasa serangan pada 7 Oktober dan pemerintah Israel berulang kali menyatakan bahawa membawa pulang semua tebusan warga Israel adalah salah satu tujuan utama perang tersebut.

Related posts

Leave a Comment