KUALA LUMPUR 10 Dis. – Peningkatan kes jangkitan Covid-19 sudah dapat dilihat sejak kebelakangan ini, dan dijangka meningkat berikutan sambutan perayaan Krismas tidak lama lagi, kata Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa.
Beliau berkata, kemungkinan peningkatan itu susulan kunjung-mengunjung ke rumah keluarga dan saudara mara.
“Jadi, kita menasihatkan supaya rakyat mengambil langkah seperti sebelum ini. Sekiranya ada gejala jumpa doktor untuk saringan. Sekiranya positif, lakukan pengasingan kendiri dalam tempoh lima hari.
“Selain itu jika ke tempat sesak, walaupun kini tidak diwajibkan, namun kita galakkan untuk memakai pelitup muka selain menjaga kebersihan diri seperti kerap membersihkan tangan,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Flag Off Mobiliasasi Madani Afiat dan Ujian Saringan Kesihatan, di sini hari ini.
Sebelum ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Muhammad Radzi Abu Hassan memaklumkan negara melaporkan peningkatan 3,626 kes Covid-19 atau 57.3 peratus dalam tempoh seminggu dari 19 November hingga 25 November lalu berbanding 2,305 kes yang dilaporkan pada 12 November hingga 18 November lalu.
Katanya, sebanyak 48 peratus daripada jumlah kes itu terdiri daripada mereka yang berusia di antara 20 tahun hingga 40 tahun namun lebih 98 peratus bergejala ringan.
Menurut Dr Muhammad Radzi, sebanyak empat varian Omicron baharu dilaporkan dan jumlah kumulatif kes yang dijangkiti oleh virus SARS-CoV-2 sebanyak 28,102 kes.
“Kes berkenaan dikesan melalui saringan gejala yang dijalankan di klinik kesihatan. Kedua-dua kes tidak mempunyai sejarah ke luar negara dalam tempoh 14 hari sebelum gejala. Mereka dirawat sebagai pesakit luar dan dalam keadaan stabil,” katanya.
