2023 tahun paling panas

GENEVA: Tahun 2023 bakal menjadi tahun paling panas yang pernah dicatat, yang memerlukan tindakan segara diambil untuk mengawal pemanasan global dan membendung daripada keadaan memburuk.

Pertubuhan Meteorologi Sedunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran bahawa 2023 sudah memecah rekod-rekod iklim, dengan cuaca ekstrim menyebabkan “kemusnahan dan rasa putus asa”.

“Paras gas rumah hijau tinggi melepasi rekod. Suhu global juga melepasi rekod. Paras air laut juga melepasi rekod. Ais laut Antartika di bawah rekod,” tegas Ketua WMO Petteri Taalas.

WMO menerbitkan laporan Iklim global 2023 sedang para pemimpin dunia berhimpun di persidangan iklim COP28 PBB di Dubai, di tengah-tengah tekanan meningkat untuk membendung pencemaran rumah hijau yang memanaskan bumi.

Ketua PBB Antonio Guterres berkata dapatan rekod suhu panas itu “seharusnya membuat para pemimpin gentar”.

Pertaruhannya amat tinggi, dengan para saintis memberi amaran bahawa keupayaan untuk menghadkan pemanasan ke paras yang boleh dikawal semakin tipis.

Perjanjian Iklim Paris 2015 menyasarkan untuk mengehadkan pemanasan global ke bawah 2 darjah Celcius, iaitu melebihi paras sebelum perindustrian – dan 1.5 darjah Celcius jika boleh.

Namun dalam laporannya, WMO menyatakan data 2023 sehingga hujung Oktober menunjukkan tahun ini parasnya sudah sekitar 1.4 darjah Celcius melebihi paras sebelum perindustrian.

Related posts

Leave a Comment