Empat disangka terperangkap, sebenarnya lari

BAYAN LEPAS 30 Nov. – Empat mangsa yang dikatakan terperangkap di bawah runtuhan struktur gudang logistik yang dalam pembinaan di Batu Maung, malam kelmarin selamat selepas melarikan diri dipercayai tiada dokumen perjalanan sah.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Mohamed Usuf Jan Mohamad, berkata empat lelaki berkenaan dikesan di sekitar Bayan Lepas jam 4 petang kelmarin dan susulan itu polis menghentikan operasi mencari dan menyelamat.

Dalam kejadian pukul 9.58 malam, tiga pekerja pembinaan warga Bangladesh disahkan maut manakala dua lagi dilaporkan kritikal serta tidak sedar diri dan kini dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP).

Berikutan kejadian itu, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) mengeluarkan notis henti operasi serta merta.

Datuk Bandar, A Rajendran, berkata pihaknya sudah mengeluarkan notis berhenti kerja (operasi) serta merta kepada pemaju dan pihak jurutera, awal pagi kelmarin.

“Setakat ini, didapati kerja pembinaan bangunan itu berlangsung ikut jadual. Berikutan kedudukan tapak pembinaan yang jauh daripada kawasan perumahan, kita memberi kebenaran mereka bekerja pada waktu malam,” katanya kelmarin.

Sementara itu, 10 insiden runtuhan berlaku di Pulau Pinang sejak 2011 dengan terbaru membabitkan runtuhan struktur gudang logistik dalam pembinaan di Batu Maung.

Kronologi kejadian runtuhan di Pulau Pinang

Sebelum ini, insiden runtuhan berlaku 9 November tahun lalu membabitkan tiga gadis yang menginap di Wisma Anak Yatim Perempuan Islam di Jalan Scotland yang mengalami kecederaan selepas bumbung asrama runtuh.

* 4 Disember 2020, seorang pekerja kontrak warga Bangladesh maut, manakala rakan sekerjanya cedera selepas dihempap runtuhan tiang cerucuk konkrit ketika kerja pembinaan di sebuah kilang dekat Simpang Ampat.

* 26 Jun 2019 empat pekerja Myanmar terbunuh selepas tembok penahan yang sedang mereka bina di Hotel Lost Paradise dekat Batu Ferringhi runtuh.

* 15 Februari 2019 membabitkan tiga pekerja maut manakala tiga lagi cedera parah apabila rangka bumbung bangunan yang sedang dalam pembinaan runtuh, dalam kejadian dekat Kawasan Perindustrian Prai.

* 8 Ogos 2016, seorang pekerja warga Indonesia maut ditimpa runtuhan struktur bangunan dalam pembinaan di Jalan New Ferry.

* 23 Disember 2014, seorang pekerja warga Bangladesh berusia 30 tahun maut di tempat kejadian selepas dinding konkrit seberat satu tan menimpanya. Kejadian itu berlaku di sebuah rumah pameran yang masih dalam pembinaan dekat Jalan Sultan Ahmad Shah.

* 13 November 2014 apabila sebahagian struktur bangunan di Western Digital dekat Zon Perindustrian Bebas, Bayan Lepas, runtuh sehingga menimpa seorang pekerja berusia 48 tahun lalu membunuhnya.

* 13 Jun 2013. Ribut yang melanda Pulau Pinang meruntuhkan menara yang berada di atas bumbung bangunan UMNO negeri, sehingga menimpa beberapa kenderaan termasuk meragut nyawa seorang pemandu lori dekat Jalan Macalister.

* 7 Jun 2013 pula membabitkan runtuhan tanjakan ke Jambatan Kedua Pulau Pinang yang masih dalam pembinaan sekitar jam 7.45 malam di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu dekat Batu Maung mengorbankan seorang mangsa, manakala tiga kali cedera.

* 5 Oktober 2011, tiga rumah di Georgetown ranap dihempap menara kren mengorbankan seorang lelaki berusia 64 tahun yang sedang tidur dalam bilik. Dalam kejadian tengah malam itu, kren berkenaan yang berada di tapak pembinaan hotel 20 tingkat, dekat seberang jalan tidak jauh dari rumah mangsa.

Related posts

Leave a Comment